PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerima purata 40,000 permohonan penggantian kad dalam tempoh sebulan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sehubungan itu JPN telah membuat pelbagai persediaan menjelang pelaksanaan program Budi Madani RON95 (BUDI95) yang akan berkuat kuasa akhir bulan ini.
Katanya, JPN juga akan memastikan stok dan bekalan kad mencukupi bagi mengelakkan sebarang gangguan dan operasi kaunter juga akan dipanjang sekiranya berlaku lonjakan permohonan penggantian cip MyKad rosak.
“Dengan pelaksanaan BUDI95, kerajaan perlu menanggung kos sebanyak RM714,660 sepanjang tempoh gantian percuma cip bermula hari ini hingga 7 Oktober depan.
“Saya sudah maklumkan kepada pegawai JPN, jika perlu tambah masa, mereka bersedia untuk berbuat demikian sehingga semua urusan selesai,” katanya ditemui selepas meninjau pengoperasian Bahagian Kad Pengenalan JPN, di Ibu Pejabat JPN Putrajaya di sini, semalam.
Katanya, tinjauannya di Ibu Pejabat JPN pagi semalam mendapati urusan di kaunter berjalan lancar walaupun jumlah kehadiran orang ramai semakin meningkat.
Saifuddin berkata, rata-rata orang ramai yang ditemui memilih berurusan di JPN Putrajaya kerana urusan pertukaran MyKad dapat disiapkan dalam masa sehari.
“Sehingga pukul 9 pagi tadi, sebanyak 99 angka giliran telah diagihkan malah, ada yang sudah memperoleh MyKad masing-masing.
“Mereka (orang awam) anggap tempoh menunggu sebagai tempoh yang wajar kerana urusan penggantian MyKad dapat diselesaikan pada hari sama,” katanya. – UTUSAN










