KLANG: Jalan Istana yang menghubungkan pusat bandar daerah ini dari Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz dengan Istana Alam Shah ditutup kepada semua kenderaan pada 2 Oktober depan sempena perarakan Istiadat Perkahwinan Diraja Raja Muda Selangor.
Penutupan jalan tersebut bermula pada pukul 8 pagi hingga 10 pagi pada hari sama bagi membolehkan perarakan rombongan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah bergerak melalui jalan tersebut sepanjang 650 meter.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, penutupan jalan bagi memberi ruang kepada persediaan dan kelancaran pergerakan pengantin diraja.
“Jalan-jalan lain di sekitar Bandaraya Diraja Klang tidak akan ditutup, sebaliknya akan dikawal sepenuhnya oleh pasukan polis trafik.
“Bagi daerah-daerah lain di negeri ini yang tidak terlibat dengan majlis tersebut, tiada sebarang penutupan jalan dibuat. Semua aliran trafik di kawasan itu berjalan seperti biasa,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Sabtu lalu, Utusan Malaysia melaporkan sebanyak 12 laluan di sekitar pusat bandar Klang ditutup bermula pukul 7 pagi Isnin dan Khamis sempena Istiadat Perkahwinan Diraja Raja Muda Selangor di Istana Alam Shah.
Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dalam kenyataannya berkata jalan-jalan terlibat seperti Jalan Stesen, Jalan Tengku Diaudin, Jalan Dato’ Hamzah dan Jalan Bulatan Simpang Lima.
Selain itu, ia turut melibatkan penutupan beberapa laluan seperti Jalan Istana ke Bulatan Simpang Lima, Jalan Stadium Sultan Suleiman, Lorong Tingkat, Jalan Pegawai, Jalan Tengku Kelana 2, Jalan Raja Jumaat dan Jalan Bukit Istana.
Jelas Ramli, polis diarah untuk menjaga keselamatan, ketenteraman awam serta kawalan lalu lintas sepanjang majlis berlangsung.
Justeru, beliau meminta orang ramai supaya tidak mempercayai sebarang notis atau maklumat yang disebabkan oleh pihak tidak bertanggungjawab selain daripada makluman rasmi dikeluarkan oleh polis.
“Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut mengenai lalulintas berhubung majlis itu boleh diperoleh dengan menghubungi bilik gerakan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33719999.
“Polis merakamkan penghargaan kepada masyarakat atas kerjasama yang diberikan demi memastikan kelancaran majlis berkenaan,” ujarnya. – UTUSAN










