Isu buli berleluasa kerana dipandang ringan masyarakat - Utusan Malaysia

Isu buli berleluasa kerana dipandang ringan masyarakat

Zaliha Idris
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Isu buli di sekolah masih berleluasa sehingga kini berikutan wujudnya budaya normalisasi dan sikap memandang ringan dalam kalangan masyarakat.

Pensyarah Pengurusan Krisis dan Komunikasi di Asia Pacific University of Technology and Innovation (APU), Zaliha Idris berkata, walaupun banyak kempen kesedaran telah dijalankan oleh pelbagai pihak namun budaya buli masih berlaku kerana ada yang melihatnya sekadar usikan biasa.

Menurutnya, perbuatan itu juga akan meninggalkan kesan jangka panjang terhadap emosi, prestasi akademik dan pembangunan sahsiah pelajar.

“Selagi mentaliti ini tidak diubah, budaya buli akan ini juga akan terus berakar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Zaliha yang juga merupakan penyelidik Doktor Falsafah (PhD) Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, isu buli berakar daripada faktor disiplin, persekitaran sosial dan kurangnya penguatkuasaan bersepadu.

Jelasnya, sekolah berasrama penuh contohnya akan berdepan cabaran lebih besar berikutan interaksi pelajar adalah untuk tempoh 24 jam.

“Jika tidak dikawal, ia boleh mencetuskan hierarki tidak sihat yang mendorong kepada kes buli fizikal, emosi dan mental,” katanya.

Dalam pada itu, menyedari buli bukan lagi boleh dianggap usikan biasa sebaliknya mampu merosakkan masa depan pelajar, Zaliha berkata, Unit Disiplin Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) dengan kerjasama sekolah dan Maahad Tahfiz Kiblah, Sepang, akan menganjurkan program Bicara Inspirasi bertajuk Bahaya dan Kesan Buli: Andai Ada Peluang Kedua, di Masjid Kiblah.

Katanya, program itu bukan sahaja memberi pendedahan kepada pelajar namun turut membawa mesej jelas bahawa isu buli adalah masalah sosial yang perlu ditangani secara menyeluruh.

“Program ini akan menampilkan Izzad Daniel yang merupakan bekas pelajar Henry Gurney sebagai penceramah undangan untuk berkongsi pengalaman hidupnya agar dapat dijadikan iktibar dan inspirasi khususnya buat pelajar yang sedang meniti usia remaja,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN