GAZA: Semenanjung Gaza menjadi medan penderitaan tanpa penghujung buat rakyat Palestin, apabila lebih sejuta orang termasuk 350,000 kanak-kanak, tiada lagi tempat selamat untuk berlindung.
Wilayah yang asalnya berkeluasan 365 kilometer persegi, kini hanya tinggal 15 peratus atau 54 kilometer persegi untuk diduduki oleh lebih sejuta orang.
Keluasan itu hanya lebih sedikit daripada Putrajaya, yang mempunyai penduduk lebih 120,000 orang.
Jumlah itu bukan sahaja tidak mampu menampung kepadatan penduduk, malah menyukarkan akses kepada bekalan asas, perubatan dan air bersih.
Bahkan, kawasan itu juga tidak menjamin keselamatan rakyat Gaza berikutan Israel sebelum ini sering menyasarkan zon kemanusiaan yang kononnya selamat.
Pejabat Media Gaza menyatakan, kawasan al-Mawasi di Khan Younis, pernah dibom lebih 109 kali oleh Israel sehingga menyebabkan 2,000 kematian meskipun ia didakwa zon selamat.
Pencerobohan berskala besar rejim Israel di Gaza City sejak awal minggu ini, memburukkan lagi situasi kemanusiaan di wilayah berkenaan.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 350,000 kanak-kanak Gaza kini terdedah trauma fizikal dan psikologi, selain risiko kebuluran yang semakin meruncing.
Di saat serangan berterusan membunuh ratusan nyawa dan memaksa jutaan lagi hidup dalam kesempitan, dunia hanya mampu memberi amaran atau menyuarakan kebimbangan, tanpa tindakan nyata untuk menghentikan penderitaan itu.
Walaupun masyarakat antarabangsa semakin menyedari penderitaan Gaza dan jenayah rejim Zionis, tindakan konkrit untuk menghentikan kekejaman itu masih gagal dilaksanakan.
Majlis Keselamatan PBB (UNSC) beberapa kali digesa untuk mengambil langkah segera menamatkan perang, malangnya veto negara kuasa besar Amerika Syarikat (AS) dan kekangan diplomasi lain menghalang sebarang resolusi berkesan.
Kelmarin, AS sekali lagi menggunakan kuasa vetonya di Majlis Keselamatan untuk menolak resolusi yang menuntut gencatan senjata segera, tanpa syarat dan berkekalan di Gaza.
Resolusi tersebut, yang dirangka oleh 10 anggota tidak tetap Majlis Keselamatan, menerima sokongan 14 daripada 15 negara anggota.
Ia turut menuntut pembebasan semua tebusan yang ditahan oleh Hamas dan kumpulan lain, serta penghapusan sekatan terhadap penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Ini merupakan kali keenam Washington menghalang usaha diplomatik global untuk menghentikan konflik yang meragut lebih 65,000 nyawa di wilayah bergolak itu setakat ini.
Rakyat Gaza kini menjadi saksi kelemahan sistem antarabangsa yang sepatutnya menjamin keselamatan dan memberi perlindungan kepada mereka. – AGENSI










