Gangguan elektrik lebih 15 jam: Segerakan Projek Second Loop Transmission & IPP

Gangguan elektrik lebih 15 jam: Segerakan Projek Second Loop Transmission & IPP

SAMASUDDIN YUSOP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Samasuddin Yusop menzahirkan simpati terhadap lebih 230,000 pengguna di Pantai Timur Sabah yang terjejas akibat gangguan elektrik berpanjangan selepas menara utama penghantaran di Penampang tumbang akibat tanah runtuh baru-baru ini.

Beliau berkata, insiden itu sekali lagi membuktikan rapuhnya sistem penghantaran tenaga di Sabah yang sering menyebabkan rakyat menanggung kesusahan khususnya isi rumah, peniaga kecil, pelajar, hinggalah pesakit yang bergantung pada peralatan elektrik di hospital dan klinik.

Sehubungan itu, Samasuddin menggesa kerajaan memberi keutamaan kepada dua langkah strategik iaitu melaksanakan Projek Second Loop Transmission Tenom-Kalabakan-Tawau bagi mewujudkan grid alternatif yang mampu menampung gangguan jika talian utama terputus.

“Perlunya juga kerajaan memperkukuh infrastruktur tenaga di Pantai Timur Sabah dan pada masa sama membangunkan Independent Power Plant (IPP) bersifat desentralisasi di Tawau, Kalabakan dan Lahad Datu bagi mengurangkan pergantungan kepada grid Pantai Barat serta menjamin bekalan lebih stabil melalui sumber tenaga tempatan seperti gas, solar, biomass dan mini hidro,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, daerah-daerah di Pantai Timur seperti Tawau, Kalabakan, Semporna dan Lahad Datu telah lama menjadi penyumbang hasil besar kepada negeri dan negara, namun masih berdepan dengan masalah gangguan elektrik berpanjangan.

“Rakyat Pantai Timur berhak menikmati bekalan elektrik moden, stabil dan setaraf dengan kawasan lain di Malaysia. Projek Second Loop Transmission bersama IPP desentralisasi adalah solusi jangka panjang yang mesti dilaksanakan segera demi kesejahteraan rakyat Sabah,” tegasnya.

Beliau berharap kerajaan negeri dan Persekutuan tidak lagi melengah-lengahkan perkara ini, sebaliknya mempercepatkan peruntukan serta memastikan projek tersebut menjadi kenyataan.

“Saya sendiri turut terkesan apabila kawasan tempat tinggal saya terputus bekalan elektrik lebih 15 jam. Ramai sahabat dan jiran mengeluh, ada majlis kahwin dan akikah berlangsung dalam keadaan bergelap, seorang rakan terpaksa menguruskan jenazah ibunya tanpa bantuan elektrik, sementara peniaga pula rugi besar kerana perniagaan lumpuh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN