Festival Permainan Malaysia sasar lebih 100,000 pengunjung

Festival Permainan Malaysia sasar lebih 100,000 pengunjung

SHAHRIZAL Abdan ketika ditemubual Utusan Malaysia di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyasarkan lebih 100,000 pengunjung bakal menghadiri Festival Permainan Malaysia (FPM@ Putrajaya).

Festival itu bakal diadakan selama empat hari, bermula 25 hingga 28 September ini bertempat di Dataran Putrajaya.

Festival tersebut yang telah memasuki tahun ke-10 penganjurannya berjaya mengangkat permainan tradisional supaya lebih diminati bukan sahaja oleh rakyat tempatan tetapi juga pelancong asing.

Festival tersebut merupakan acara di bawah Kalendar Pelancongan Budaya yang diadakan setiap tahun bagi mengetengahkan keunikan seni budaya negeri.

Timbalan Pengarah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Kuala Lumpur, Shahrizal Abdan berkata, penganjuran festival bukan sahaja menyebarkan permainan tradisional dalam kalangan masyarakat malah ia turut membantu mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Beliau berkata, tahun ini merupakan kali pertama pihaknya mengadakan festival tersebut di Putrajaya.

“Tahun ini buat kali pertama sejak diadakan pada tahun 2015, inilah kali pertamanya kita adakan di Dataran Putrajaya.

“Salah satu sebabnya kami memilih ruangan yang lebih luas dan bersejarah, selain memberi peluang masyarakat setempat menyertai acara tahunan tersebut,” katanya ketika ditemui.

Katanya, sebanyak 12 pasukan bagi kategori badan beruniform menyertai FPM@Putrajaya 2025 terdiri daripada juara bertahan kejohanan itu iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pasukan lain adalah seperti Majlis Sukan Angkatan Tentera, Jabatan Sukarelawan Rakyat Malaysia yang menghantar sebanyak dua kontinjen, Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam.

Beliau berkata, sebanyak 10 penyertaan akan berentap bagi kategori korporat terdiri daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, RHB Bank Berhad, Keretapi Tanah Melayu Berhad, Malaysia Airports Berhad, Tourism Malaysia, Tenaga Nasional Berhad, Berita Nasional Malaysia, Bank Simpanan Nasional, Bank Muamalat, dan Kelab Sukan dan Rekreasi Petronas.

“Kategori Institusi Pengajian Tinggi (IPT) turut dipertandingkan yang melibatkan tujuh IPT terlibat terdiri daripada Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan, Management and Science University, Kolej Poly-Tech MARA, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), serta, Institut Pendidikan Guru,” katanya.

Kata beliau, selain pertandingan permainan tradisional antara badan beruniform dan sektor korporat, pengisian lain yang turut memeriahkan FPM@ Putrajaya 2025 adalah Permainan Legenda Rakyat yang melibatkan permainan seperti terompah gergasi, susun bata, lari dalam guni, kelereng, tuju tin dan bola beracun.

“Selain itu, aktiviti seperti memanah tradisional interaktif dan menyumpit, pertandingan lastik terbuka dan baling damak (dat), pameran, demonstrasi permainan tradisi masyarakat Orang Asal iaitu kercang turut diadakan,” katanya.

Menurutnya, turut diadakan juga Kejohanan Gasing Pangkah atau MyGasing Championship melibatkan penyertaan persatuan gasing seluruh Malaysia dan juga Indonesia, Brunei Darussalam dan Singapura, serta pertandingan Kabaddi Terbuka Malaysia serta Kejohanan Liga Penalti.

Acara lain termasuklah, Eksplorasi Bahasa oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, persembahan Diabolo, Senam Seni 2.0, wall climbing, Larian Wau dan Karnival Mikro Madani oleh FAMA Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pada tahun ini juga, beberapa acara baharu telah diperkenalkan iaitu Hari Terbuka Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Demonstrasi Catur Melayu, dan Pocket Bike. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN