TEMERLOH: Tiga negeri di Semenanjung Malaysia iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu dikenal pasti sebagai lokasi panas aktiviti pemburuan haram yang menyasarkan khazanah negara yang semakin terancam iaitu Harimau Malaya.
Menurut data Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dan rondaan Renjer Komuniti (RK), kawasan hutan dalam Taman Negara yang merentasi ketiga-tiga negeri itu menjadi tumpuan pemburu haram yang memasang jerat secara sistematik.
Turut dikesan menjadi ‘port’ pemburu haram adalah di kawasan hutan sepanjang Banjaran Titiwangsa, Hutan simpan Endau-Rompin dan juga lokasi kawasan hutan berdekatan ladang-ladang kelapa sawit.
Harimau Malaya mendapat permintaan tinggi di pasaran gelap dan diburu untuk mendapatkan kulit, daging, kuku, taring dan tulang, dengan harga pasaran haiwan yang dilindungi ini mencecah antara RM200,000 hingga RM300,000 seekor.
Malaysia kini berdepan cabaran besar apabila populasi Harimau Malaya dianggarkan sekitar 150 ekor sahaja. Ancaman utamanya adalah pemburuan haram dan penebangan hutan yang berleluasa.
Populasi Harimau Malaya yang pernah mencecah 3,000 ekor pada tahun 1950-an merosot secara drastik dalam tempoh tujuh dekad, menjadikan ia antara spesies paling terancam di dunia.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, berdasarkan data OBK dan rondaan penguatkuasaan RK, keseluruhan bilangan jerat yang dimusnahkan dari 2020 hingga Julai lalu adalah sebanyak 4,466 unit dan trend menunjukkan sedikit peningkatan.
SUKAR DIKESAN
Menurutnya, faktor penyumbang aktiviti pemburuan haram di lokasi terbabit adalah kerana kepelbagaian dan kepadatan spesies hidupan liar, kemudahan akses laluan masuk ke kawasan hutan simpan seperti jalan balak dan sungai, keluasan kawasan hutan yang menjadikan kegiatan itu sukar dikesan selain terdapat kawasan hutan simpan yang bersempadan dengan negara jiran.
“Bentuk pemburuan haram paling sukar dibendung ketika ini adalah penggunaan jerat yang dipasang sama ada oleh pemburu haram warga tempatan atau warga asing di lokasi habitat hidupan liar seperti di kawasan hutan simpan, Taman Negara dan Rizab Perlindungan Hidupan Liar.
“Jerat ini dikesan dipasang dalam kuantiti yang banyak di satu- satu lokasi dan boleh mendatangkan kecederaan yang serius atau kematian kepada kebanyakan hidupan liar seperti harimau belang, harimau kumbang, gajah, beruang matahari, rusa, kijang dan babi. Kebanyakan tangkapan kes jabatan yang melibatkan jerat adalah membabitkan warganegara asing seperti Vietnam dan Kemboja.
“Cabaran utama dihadapi Perhilitan adalah untuk mencari jerat-jerat yang dipasang pemburu haram kerana kami tidak tahu lokasi spesifik ia dipasang serta faktor bentuk muka bumi dan keluasan kawasan hutan taman negara, hutan simpan kekal dan kawasan hotspot pemburu haram yang menyukarkan rondaan menyeluruh dilaksanakan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Harimau liar kini hanya bertahan di 13 negara Asia, dengan India muncul sebagai negara paling dominan dalam pemuliharaan spesies tersebut.
Berdasarkan anggaran terkini, India menempatkan lebih 2,967 ekor harimau liar, menjadikannya penyumbang terbesar kepada populasi global, kira-kira 70 peratus daripada jumlah keseluruhan.
Malaysia sebelum ini menandatangani perjanjian antarabangsa di St. Petersburg, Russia pada 2010 bersama 12 negara lain yang memiliki populasi harimau liar dengan komitmen untuk menggandakan jumlah harimau menjelang 2022.
Namun, sasaran tersebut gagal dicapai apabila populasi Harimau Malaya terus merosot akibat pemburuan haram, kehilangan habitat dan konflik manusia-harimau yang semakin meningkat.
Mengulas lanjut, Abdul Kadir berkata, kebanyakan kes tangkapan melibatkan warga asing Vietnam dan Kemboja adalah kerana kedua-dua warganegara ini banyak bekerja di lokasi pembalakan dan ladang-ladang sawit.
Selain itu, katanya, kedua-dua warganegara itu juga sering ditangkap bersama hasil hutan lain seperti kayu gaharu dan turut menjadikan aktiviti pemburuan haram sebagai kegiatan mereka.
“Bagaimanapun, terdapat juga kes yang dikesan mempunyai kaitan dengan sindiket rentas sempadan yang mana warga tempatan didapati bersengkongkol dengan warga asing yang memburu hidupan liar seperti harimau belang, beruang, harimau kumbang dan hidupan liar lain di hutan sebelum hasil buruan berkenaan dibawa keluar ke negara asal dan lain-lain negara melalui pasaran gelap,” katanya.
Tambah beliau, Dalam tempoh lima tahun ini, terdapat satu kes pada 2023 melibatkan tangkapan seorang lelaki tempatan bersama tiga warga Vietnam.
Mereka dituduh memiliki empat utas jerat dan menyimpan 56 bahagian harimau belang (Panthera tigris) yang merupakan bahagian hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual Ke-10, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 (Akta A1646) tanpa suatu Permit Khas. Kes ini masih lagi dalam perbicaraan.
“Secara keseluruhan, dari tahun 2020 hingga Julai tahun ini, sebanyak 19 kes direkodkan melibatkan kesalahan memiliki jerat dan juga hidupan liar lain selain harimau belang yang mana 10 kes sudah selesai dan orang kena tuduh (OKT) telah menerima hukuman,” katanya.
KEMALANGAN BABITKAN HARIMAU MALAYA
Beliau berkata, antara tahun 2023 hingga 2024, sebanyak empat insiden kemalangan jalan raya melibatkan Harimau Malaya telah direkodkan di Semenanjung Malaysia.
“Insiden pertama berlaku pada 9 November 2023, apabila seekor Harimau Malaya berusia antara lapan hingga 10 tahun ditemukan mati akibat dilanggar kenderaan ketika cuba melintas Lebuhraya PLUS berhampiran kawasan rehat dan rawat Gua Tempurung, Perak. Hasil siasatan mendapati haiwan ini merupakan harimau residen di Hutan Simpan Kekal (HSK) Bukit Kinta, Perak.
“Insiden kedua pada 16 Mei 2024 di Lebuhraya Pantai Timur berhampiran Lentang di Bentong, Pahang. Seekor Harimau jantan seberat 130 kilogram ditemukan mati selepas dirempuh kenderaan.
Bedah siasat mendapati harimau ini mengalami kataraks pada bahagian mata, yang dipercayai menyebabkan ia gagal mengesan kehadiran kenderaan semasa melintas jalan.
“Insiden ketiga berlaku pada 6 Julai 2024, melibatkan seekor harimau muda berusia antara dua hingga tiga tahun yang mati dilanggar kenderaan di Lebuhraya Plus berhampiran Tapah Perak. Harimau ini kali pertama direkodkan pada 2022 ketika masih anak di HSK Bukit Kinta.
“Sementara itu, insiden kemalangan jalan raya paling terkini berlaku pada 9 November 2024, apabila seekor harimau betina ditemukan mati selepas dilanggar sebuah lori di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik-Jeli. Ia dikenal pasti sebagai harimau residen di HSK Amanjaya dan kali pertama direkodkan di kawasan tersebut pada tahun 2020,” katanya.
Beliau dalam pada itu berkata, sejak 2023 hingga kini, sebanyak 14 harimau sudah ditangkap akibat konflik manusia-harimau di negeri Kelantan, Perak, Johor dan Pahang.
HARAPAN DAN MASA DEPAN
Abdul Kadir berkata, pihaknya menyasarkan untuk meningkatkan bilangan Harimau Malaya di hutan liar daripada kurang 150 ekor ketika ini kepada sekurang-kurangnya 400 ekor menjelang 2030.
“Kami akan memastikan kawasan habitat kritikal dikekalkan dan disambungkan melalui Central Forest Spine (CFS) dan pembinaan koridor ekologi (eco-viaduct, eco-bridge, underpass). Kami juga akan melindungi kawasan perlindungan utama seperti Taman Negara, Royal Belum, Endau-Rompin, serta kawasan yang dikenal pasti sebagai Tiger Priority Sites,” jelasnya.
RIZAB DIRAJA, MTCC HARAPAN BAHARU HARIMAU MALAYA
Sebagai langkah pemulihan, kerajaan melancarkan Projek Harimau Malaya, bertujuan melindungi dan memulihara spesies itu melalui pendekatan menyeluruh melibatkan pelbagai pihak.
Inisiatif tersebut turut mendapat sokongan sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti tempatan yang memainkan peranan penting dalam usaha konservasi.
Antara langkah signifikan, pengisytiharan Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah di Pahang meliputi kawasan 134,183 hektar, menjadikannya antara rizab harimau terbesar di negara ini.
Rizab itu bukan sahaja melindungi habitat Harimau Malaya malah memelihara ekosistem hutan hujan tropika yang menjadi rumah kepada pelbagai spesies flora dan fauna.

Selain itu, Penubuhan Pusat Konservasi Harimau Malaya (MTCC) di Lanchang di sini menjadi mercu tanda baharu dalam usaha pemuliharaan berasaskan sains, pendidikan dan pemulihan habitat haiwan liar berkenaan.
Ketua Pusat MTCC, Saat Yaakob berkata, mandat MTCC adalah menjadi pusat khusus bagi pemuliharaan dan pembiakan Harimau Malaya di Malaysia dan menyokong usaha dalam mencapai sasaran meningkatkan populasi Harimau Malaya melalui objektif Pelan Tindakan Krisis Harimau Malaya (MTCAP) 2021.
Pusat itu ditubuhkan rentetan pewujudan Pelan Tindakan Konservasi Harimau Kebangsaan 2009 yang merupakan pelan strategik bagi menangani isu kepupusan Harimau Malaya dan memastikan kelangsungan spesies ini di habitat semula jadinya.
“Jabatan Perhilitan memperoleh tanah seluas 80 hektar untuk pembangunan MTCC. Pusat ini telah beroperasi sejak 2022 dan infrastruktur di MTCC dapat menampung sehingga 32 ekor Harimau Malaya,” katanya.
Menurutnya, kewujudan MTCC penting untuk menyatakan komitmen negara dalam memelihara simbol negara daripada kepupusan.
“Jabatan Perhilitan komited dalam usaha meningkatkan populasi Harimau Malaya melalui Program Pembiakan Harimau Malaya Dalam Kurungan (MyBIT) melalui kerjasama melibatkan dua fasilitinya iaitu MTCC dan Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) dan lima lima fasiliti zoo iaitu Zoo Negara, Zoo Melaka, A Famosa, Zoo Kemaman dan Zoo Taiping,” katanya.

Beliau berkata, pusat itu baru sahaja beroperasi pada 2022 dan sehingga kini terdapat enam ekor Harimau Malaya, tiga jantan dan tiga betina yang ditangkap Perhilitan di seluruh negara.
“Tiga harimau jantan diberi nama Atan Kerteh, Apek Bihai dan Puntum. Harimau betina pula diberi nama, Bayu, Spot dan Mek Bihai. Kesemua harimau ini berjaya dipasangkan dan mengawan.
“Situasi ini memberikan sinar dan harapan dalam usaha meningkatkan bilangan Harimau Malaya di dalam kurungan.
“Kejayaan untuk program pembiakan merupakan indikator positif keberkesanan pusat ini dalam meningkatkan populasi Harimau Malaya,” katanya.-UTUSAN










