KUANTAN: Pelaksanaan strategi rasionalisasi subsidi petrol RON95 oleh kerajaan menerusi program BUDI95 disifatkan sebagai langkah yang masuk akal dan berani dalam memastikan keadilan sosial serta pengurusan fiskal negara yang lebih mampan.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, sebelum ini, sistem subsidi pukal membolehkan sesiapa sahaja menikmati harga petrol yang rendah, termasuk pemilik kenderaan mewah dan pelancong asing.
“Langkah Malaysia memperkenalkan BUDI95 dilihat sebagai masuk akal dan terpuji, sejajar dengan amalan negara-negara maju yang menyalurkan bantuan secara bersasar. Ia juga mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh sistem perlindungan sosial dan mengurangkan ketirisan subsidi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Sharkar berkata, sekurang-kurangnya Malaysia sudah memulakan langkah berani untuk memastikan subsidi petrol disalurkan secara adil dan berkesan. Ini bukan sahaja mencerminkan kematangan dasar fiskal negara, malah menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan rakyat yang sebenar.
“Dengan pelaksanaan BUDI95, Malaysia kini berada di landasan yang lebih kukuh untuk membina sistem subsidi yang lestari, adil dan berpaksikan keperluan rakyat, bukan semata-mata populariti politik atau tekanan jangka pendek,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan bersasar seperti ini mampu mengurangkan beban kewangan kerajaan dalam jangka panjang, sekali gus membolehkan lebih banyak dana awam disalurkan kepada sektor kritikal seperti pendidikan, kesihatan dan pembangunan luar bandar.
“Rakyat perlu diberi kefahaman bahawa subsidi bukan hak mutlak, tetapi satu bentuk bantuan yang perlu diagihkan secara bijak. BUDI95 adalah permulaan kepada reformasi subsidi yang lebih telus dan berkesan,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter berbanding RM2.05 bermula 30 September ini bagi rakyat tempatan tanpa mengambil kira tahap pendapatan di bawah program BUDI95.
Bagi bukan warganegara pula, harga RON95 ditetapkan pada RM2.60 seliter bermula tarikh yang sama. – UTUSAN