KOTA KINABALU: Pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir boleh dicampak dari tingkat tiga asrama walaupun dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Bagaimanapun, pakar patologi Hospital Queen Elizabeth, Dr. Jessie Hiu berkata, remaja terbabit perlu dipegang dalam keadaan tegak (kaki ke bawah) dan tangan yang memegang badan Zara Qairina perlu diluruskan (stretch out) bagi melepasi tembok penghadang sebelum menjatuhkan gadis itu.
Keadaan itu perlu dilakukan agar kesan kecederaan yang akan wujud selepas itu adalah sebagaimana yang disenaraikan dalam laporan pemeriksaan dan bedah siasat.
Dr. Hui berkata demikian ketika ditanya oleh peguam Datuk Ram Singh yang mewakili salah seorang remaja yang didakwa membuli Zara Qairina.
Ram: Apabila seseorang berada dalam tidak sedarkan diri, susah untuk orang lain angkat, stretch out dan luruskan badan yang pengsan tadi (kaki ke bawah) sebab badannya akan jadi lembik (wobbly).
Dr. Hui: Ia akan jadi sukar untuk pegang badan (orang yang pengsan), ‘stretch out’ tangan supaya dia boleh jatuh di tempat (Zara Qairina ditemukan).
Sebelum mahkamah berhenti bersidang, Dr. Hui menyatakan, beliau tidak tahu sama ada kes ini mempunyai kaitan dengan mana-mana orang kenamaan atau pihak ketiga.
Terdahulu ketika ditanya peguam, Rizwandean M. Borhan yang mewakili Noraidah Lamat, ibu Zara Qairina, pakar patologi itu bersetuju bahawa terdapat banyak kemungkinan (possibilities) cara remaja itu terjatuh.
“Saya bersetuju terdapat banyak kemungkinan tetapi dalam kes ini, si mati (Zara Qairina) telah jatuh dan mendarat kaki dahulu. (Bagaimanapun), berdasarkan terhadap rekonstruksi di tempat kejadian pada pagi ini, dia tidak boleh tergelincir dan jatuh terus ke bawah,” katanya.
Pada prosiding yang memasuki hari keenam, Dr. Hiu sekali lagi menyatakan bahawa Zara Qairina mengalami trauma akibat objek tumpul di bahagian kepala.
Namun apabila disoal oleh peguam, Azhier Farhan Arisin, pakar patologi tersebut menjelaskan, sesuatu hentakan objek tumpul di bahagian kepala akan menyebabkan wujudnya titik impak (point of impact) yang akan turut menyebabkan kecederaan pada otak di belakang titik berkenaan.
“Dalam kes ini, kesan pendarahan pada otak si mati adalah lebih menyeluruh (generalize) dan selaras dengan kecederaan jenis nyahpecutan (deceleration) dan bukan kecederaan akibat hentakan yang setempat (localize impact),” katanya.
Prosiding di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan akan bersambung hari ini dengan keterangan daripada pengawal keselamatan, Linah Mansoding @ Jahali yang menemukan Zara Qairina dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri selepas dimaklumkan oleh salah seorang penghuni asrama.
Linah yang merupakan saksi inkues keenam dalam keterangannya kelmarin, turut menyatakan, ketua warden asrama telah mengarahkan agar suiz telefon awam di asrama berkenaan ditutup selama dua hari selepas insiden berkenaan. – UTUSAN










