NEW DELHI: Seorang bayi perempuan berusia 20 hari ditemukan masih hidup selepas ditanam di negeri Uttar Pradesh, utara India.
Penemuan mengejutkan itu berlaku apabila seorang pengembala kambing terdengar tangisan halus ketika membawa ternakannya meragut rumput.
Apabila diperiksa, dia terlihat tangan kecil keluar dari tanah sebelum segera memaklumkan penduduk kampung dan polis.
Pihak berkuasa bergegas ke lokasi dan berjaya menggali keluar bayi berkenaan yang kini dirawat di hospital serta dilaporkan sedang bertarung untuk hidup.
Insiden dilaporkan berlaku di daerah Shahjahanpur di negeri paling ramai penduduk di India.
BBC melaporkan, bayi malang berkenaan kini dirawat di unit rawatan rapi neonatal di kolej perubatan dan hospital kerajaan di daerah itu.
Pengetua kolej perubatan itu, Dr Rajesh Kumar berkata, keadaan tubuhnya berlumuran tanah serta sukar bernafas kerana lumpur masuk ke mulut dan hidungnya.
“Keadaannya sangat kritikal, menunjukkan tanda-tanda hipoksia atau kekurangan oksigen. Dia juga digigit serangga dan mungkin haiwan.
“Pada awalnya, keadaan dia ada sedikit perkembangan positif, namun kembali merosot dan kini mengalami jangkitan,” katanya.
Polis masih menyiasat kes itu, namun insiden berkenaan sering dikaitkan dengan budaya pilih kasih terhadap anak lelaki di India, yang menjadi punca utama nisbah jantina tidak seimbang di negara tersebut.











