KLANG: Sebanyak 12 laluan di sekitar pusat bandar Klang ditutup selama empat hari bermula pukul 7 pagi Isnin ini hingga Khamis sempena Istiadat Perkahwinan Diraja Raja Muda Selangor di Istana Alam Shah.
Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dalam kenyataannya berkata jalan-jalan terlibat seperti Jalan Stesen, Jalan Tengku Diaudin, Jalan Dato’ Hamzah dan Jalan Bulatan Simpang Lima.
Selain itu, ia turut melibatkan penutupan beberapa laluan seperti Jalan Istana ke Bulatan Simpang Lima, Jalan Stadium Sultan Suleiman, Lorong Tingkat, Jalan Pegawai, Jalan Tengku Kelana 2, Jalan Raja Jumaat dan Jalan Bukit Istana.
Bagaimanapun untuk mengurangkan kesan kesesakan trafik, Jalan Dato’ Hamzah menujuke Jalan Tengku Kelana dan Jalan Raja Jumaat ke Jalan Istana ditutup secara berperingkat sehingga pada hari istiadat berlangsung.
Menurutnya, kesemua jalan tersebut akan kembali dibuka kepada awam seperti biasa selepas istiadat selesai kira-kira pukul 1 tengah hari.
“Penutupan jalan hanya akan dilaksanakan pada 29 September 2025 dan 2 Oktober 2025 sahaja, bermula jam 7.00 pagi hingga selesai, bagi melancarkan perjalanan istiadat serta menjaga keselamatan semua pihak.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk merancang perjalanan lebih awal serta menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
“Penutupan itu dilaksanakan bagi memastikan keselamatan serta kelancaran istiadat diraja berlangsung dengan teratur. Sebarang perubahan atau makluman lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Perkahwinan diraja antara Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Cik Afzaa Fadini Abdul Aziz berlangsung pada Khamis depan dekat Istana Alam Shah, di sini.
Sementara itu, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor memaklumkan, pada hari berlangsungnya istiadat tersebut, baginda diiringi dalam perarakan yang bermula dari Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz ke Istana Alam Shah.
Perarakan diraja itu akan melalui Jalan Stesen menuju ke Jalan Istana sebelum memasuki pekarangan Istana Alam Shah. – UTUSAN










