KUANTAN: Pihak sekolah digesa memberi kerjasama penuh bagi membendung kes buli dengan tidak menutup sebarang maklumat kerana ia hanya akan merugikan pelajar dan menjejaskan usaha polis menangani isu berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, langkah tersebut penting bagi membolehkan tindakan diambil sekali gus menghentikan gejala itu hingga ke akar umbi.
“Saya akui sebelum ini ada pihak sekolah yang merahsiakan kejadian itu bagi menjaga nama baik sekolah namun ia tidak wajar dilakukan.
“Bagi meningkatkan keberkesanan dalam menangani isu buli di sekolah, peranan 140 pegawai dan anggota Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di seluruh sekolah di daerah ini akan dipertingkatkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program ‘Town Hall’ “cegah buli sebelum parah” anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan bersama Pejabat Pelajaran daerah, di IPD Kuantan di sini hari ini.
Menurut Ashari, keberkesanan PPS akan lebih terserlah sekiranya pihak sekolah sentiasa berhubung dan melibatkan mereka untuk memberi teguran kepada pelajar bermasalah. – UTUSAN