ANKARA: Isteri kepada Presiden Türkiye, Emine Erdogan menggesa Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS) Melania Trump, untuk turut bersuara bagi membela nasib kanak-kanak yang terkesan akibat perang Israel di Gaza.
Dalam sepucuk surat yang diterbitkan pejabat presiden pada Sabtu, Emine memuji sokongan Melania terhadap kanak-kanak pencerobohan Russia di Ukraine, sambil meminta beliau meluaskan advokasi itu kepada rakyat Palestin.
“Gaza kini menjadi tanah perkuburan kanak-kanak. Kita mesti menyatukan suara dan kekuatan menentang ketidakadilan ini,” tulisnya.
Rayuan itu dibuat ketika pakar keselamatan makanan disokong Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan setengah juta penduduk Gaza mengalami kebuluran, dengan lebih 132,000 kanak-kanak berdepan ancaman malnutrisi.
“Frasa ‘bayi tanpa nama’ yang tertulis pada kain kafan ribuan kanak-kanak Gaza menghiris hati nurani kita dengan luka yang tidak mampu dipulihkan,” kata Emine dalam surat berkenaan.
Beliau turut menyeru Melania untuk menunjukkan keprihatinan sama terhadap kanak-kanak Gaza sebagaimana di Ukraine, serta merayu supaya mendesak Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menamatkan krisis kemanusiaan di wilayah itu.
Awal bulan ini, Melania menghantar surat kepada Presiden Russia, Vladimir Putin agar mempertimbangkan nasib kanak-kanak dalam konflik, namun tanpa menyebut secara khusus situasi mereka.
Emine Erdogan lazimnya tidak terlibat dalam isu politik, sebaliknya lebih aktif dalam hal berkaitan alam sekitar yang pernah mendapat pujian Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.
Namun, beliau beberapa kali menulis surat kepada pasangan pemimpin dunia, termasuk pada 2016 bagi membela rakyat Syria yang terperangkap dalam perang saudara, serta mengutuk tindakan Israel di Gaza pada Mac lalu.- BBC









