BANGI – Melihat kepentingan meningkatkan literasi kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia, Kumpulan penyelidikan dari Pusat Kajian Media dan Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), The Media Initiative (TMI), baru-baru ini telah menganjurkan Bengkel Ujian Penerimaan Pengguna bagi menilai keberkesanan modul rintis bagi program Artificial Intelligence Literacy Empowerment Workshop (AiYOH),
Menerusi bengkel ini, peserta diberikan pendedahan tentang kemahiran penggunaan pelbagai perisian AI secara efektif, kritikal, dan beretika.
Menurut Ketua Penyelidik TMI, Prof. Madya Dr. Sabariah Mohamed Salleh, bengkel ini merupakan langkah awal yang penting untuk mengenal pasti keberkesanan pendekatan modul serta mengenal pasti ruang penambahbaikan.
Tambahnya, modul yang diuji dalam bengkel ini turut merangkumi aspek teori dan praktikal dalam penggunaan AI untuk tujuan akademik dan profesional.
“Ujian penerimaan pengguna ini penting bagi menguji kelancaran penyampaian kandungan, kefahaman peserta terhadap konsep AI, dan mendapatkan kritikan membina sebelum modul ini diguna pakai dalam bengkel sebenar yang bakal dilaksanakan secara meluas.
“Majoriti peserta menyatakan bahawa kandungan modul ini memberi nilai tambah kepada kemahiran mereka, terutama dalam memahami teknik dan strategi penggunaan AI secara beretika dalam kerja seharian,” katanya.
Menurut beliau, siri bengkel AiYOH yang akan bermula pada Oktober ini dan bakal menjelajah ke beberapa IPT terpilih di seluruh Malaysia dan akan dijalankan secara percuma bagi memastikan akses terbuka kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang.
Menyedari kepentingan kolaborasi antara akademik dan industri,pihaknya turut mengalu-alukan penyertaan dan kerjasama daripada pensyarah, penyelidik, dan fasilitator dari pelbagai IPT untuk terlibat sebagai jurulatih atau penyumbang modul dalam pelaksanaan program ini.
“Kami percaya pendekatan kolaboratif antara universiti, industri dan pelajar mampu melahirkan generasi celik AI yang lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan,” jelasnya.
Sementara itu, orang ramai dan institusi yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut atau menyertai program AiYOH boleh melayari laman rasmi TMI atau menghubungi sekretariat program melalui emel yang disediakan di laman tersebut.