SANTO DOMINGO: Satu kubur besar ditemukan selepas penduduk tempatan menghubungi pihak berkuasa berikutan penemuan timbunan mencurigakan berhampiran sungai di daerah timur Santo Domingo, Republik Dominica.
Pada awalnya, polis menyangka timbunan itu berkaitan dengan kebocoran gas dan berkemungkinan paip yang mengepam bahan api.
Namun sebaik menggali, mereka terhidu bau busuk sebelum menemukan sisa mayat manusia yang ditanam di kawasan berhampiran jalan menuju ke Las Mercedes.
Menurut Timbalan Ketua Daerah Timur Santo Domingo, Felix Solorzano, penemuan itu membawa kepada laporan awal polis yang mendedahkan dompet berisi dokumen peribadi seorang wanita ditemukan di lokasi berkenaan.
Siasatan lanjut mendapati wanita terbabit mempunyai rekod jenayah lampau, termasuk kes rompakan dan cubaan membunuh.
Siasatan forensik masih dijalankan bagi mengesahkan sama ada mayat yang ditemukan benar-benar milik wanita terbabit.
Menurut siasatan lanjut, mayat itu dikerat kepada 29 bahagian dan dicacah dengan tatu artistik menggunakan senjata tajam.
Polis juga menjangkakan jenayah berkemungkinan berlaku beberapa bulan lalu berdasarkan tahap pereputan sisa mayat itu.- AGENSI










