Tiga termasuk pasangan suami isteri ditahan terbabit kegiatan dadah di Pekan - Utusan Malaysia

Tiga termasuk pasangan suami isteri ditahan terbabit kegiatan dadah di Pekan

MOHD. Zaidi Mat Zin (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan di Pekan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah selepas menahan tiga individu termasuk pasangan suami isteri dalam dua serbuan berasingan di Kampung Geylang dan Kampung Pelangkah di sini, kelmarin.

Dalam operasi kira-kira pukul 7 malam, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Pekan merampas dadah seberat 1.03 kilogram.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd. Zaidi Mat Zin berkata, serbuan pertama di sebuah rumah di Kampung Geylang berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun.

“Pemeriksaan ke atas suspek menemui kunci peti besi dan alat kawalan jauh kereta sebelum polis menemui satu bungkusan plastik putih berisi 25 paket syabu seberat 831.90 gram.

“Selain itu, sebuah beg berzip bercorak bunga turut mengandungi satu bungkusan plastik lutsinar yang di dalamnya terdapat paket merah jambu dan lapan paket biru berisi pil dipercayai pil yaba seberat 201.56 gram,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini.

Mohd. Zaidi berkata, hasil rampasan terbabit menjadikan jumlah keseluruhan dadah adalah seberat 1,033.46 gram dengan anggaran bernilai RM32,020 yang mampu dibekalkan kepada kira-kira 2,066 penagih dalam tempoh sehari.

Katanya lagi, hasil siasatan ke atas lelaki yang merupakan seorang penganggur itu membawa kepada satu lagi serbuan yang dijalan di Kampung Pelangkah, di sini.

“Serbuan kedua di Kampung Pelangkah pula berjaya menahan sepasang suami isteri tempatan masing-masing berusia 48 dan 28 tahun,” katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek merupakan kenalan yang juga mempunyai kaitan dengan kegiatan pengedaran dadah di daerah ini yang dikatakan bermula sejak awal tahun lalu.

Kesemua suspek kini direman enam hari sehingga 30 Ogos ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN