KUANTAN: Buat julung kalinya, Yayasan Tenun Pahang Diraja yang dinaungi Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menganjurkan Temasya Warisan Pahang 2025.
Temasya bertaraf antarabangsa ini meliputi pelbagai aktiviti seperti bengkel kraf, demonstrasi dan interaktif kraf, pameran kraf, demonstrasi makanan warisan, tarian warisan serta pertandingan Tenun Pahang Diraja, Piala Tunku Azizah yang dijadualkan berlangsung pada 1 hingga 7 September ini di Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah, Pulau Keladi, Pekan.
Majlis perasmian dijadualkan pada 31 Ogos ini di Muzium Maritim, Pulau Beram, Pekan yang akan disempurnakan oleh Sultan Pahang pada pukul 8.30 malam.
Pada majlis berkenaan turut diadakan Pelancaran Yayasan Warisan Tunku Azizah dan Majlis Penyampaian Hadiah pertandingan Tenun Pahang Diraja, Piala Tunku Azizah. Turut diadakan Pameran Lukisan Jiwa oleh penyanyi tersohor negara iaitu Datuk M. Nasir.
Temasya Warisan Pahang 2025 menampilkan bengkel-bengkel kraf dan masakan warisan yang bukan sahaja dari Pahang tetapi dari seluruh negara termasuk Sarawak.
Selain itu, temasya itu tersebut turut disertai negara Turkiye dan beberapa negara ASEAN seperti Laos, Singapura dan Indonesia sebagai tanda sokongan terhadap Yayasan Tenun Pahang Diraja dalam memartabatkan seni kraf warisan negara di persada dunia.
Antara bengkel kraf yang akan diadakan selama tujuh hari itu ialah batik blok, batik lukis, batik clay, batik linut, batik eco-print, batik ikat dan celup, ukiran kayu, seni jahitan kreatif, anyaman mengkuang, anyaman rotan, seni telepuk, gerus, kelingkam, seramik, Lao PDR -benang sutera -silk reeling, sulaman, pewarnaan alam (natural dye), serat nanas dan serat kenaf.
Turut dianjurkan pertandingan masakan membabitkan pelajar sekolah dan menariknya Tunku Azizah Aminah Maimunah akan mengadakan demonstrasi masakan.
Selain Tengku Ampuan Pahang memasak, demonstrasi masakan tradisional Pahang turut dijadualkan berlangsung termasuk makanan citarasa bangsawan.
Temasya Warisan Pahang turut menampilkan Pameran Warisan Gastronomi dan Kulinari Pantai Timur, Pameran Tiffin (mangkuk tingkat) dan pameran lukisan.
Seni kraf Orang Kita turut diketengahkan antaranya ialah ukiran patung suku kaum Jahut, anyaman selempang suku kaum Semelai dan anyaman tikar serta pembuatan bakul rotan.
Tidak lengkap dengan itu, Temasya Warisan Pahang mempersembahkan Dikir Pahang, Gendang Silat Pahang, muzik tradisional Usari Pinang Dara dan persembahan budaya Sarawak.
Terdapat juga reruai maklumat daripada pihak perbankan. Ruang vendor makanan dan minuman turut disediakan bagi memberi pilihan kepada orang ramai menikmati hidangan yang dijual.
Majlis Penutup Temasya Warisan Pahang 2025 yang mendapat sokongan Muzium Pahang dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dijadualkan pada 7 September ini di Muzium Seni Kontemporari Pahang, Kuantan, pukul 8 malam. – UTUSAN