Pengusaha pusat cuci kereta bimbang kesan membebankan

Tarif air: Pengusaha pusat cuci kereta bimbang kesan membebankan

Pusat cuci kereta
PUSAT cuci kenderaan antara perniagaan yang banyak menggunakan air dijangka antara yang paling terkesan dengan peningkatan tarif utiliti itu di Selangor bermula September ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pengusaha kedai cuci kereta menjangkakan peningkatan harga perkhidmatan berikutan kenaikan tarif air sehingga RM3.81 semeter padu bagi sektor bukan domestik bermula September ini.

Salah seorang pengusaha kedai cuci kereta di sekitar bandar raya ini, Naseer Hamid, 36, berkata industri itu antara yang akan terkesan berikutan penggunaan maksimum kuantiti air harian.

“Bil air ditanggung ketika ini mencecah RM400 sebulan selain kos sewaan premis dan peralatan lain. Namun, saya mahu melihat terlebih dulu kesan kenaikan tarif itu sama ada ia amat membebankan atau sebaliknya.

“Setakat ini, saya belum memutuskan untuk menaikkan harga dan berharap kos yang ditanggung kelak tidak begitu ketara,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di terhadap peniaga-peniaga termasuk pengusaha gerai makanan di sekitar bandar raya ini mendapati rata-rata mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ untuk menaikkan harga jualan barangan, makanan dan perkhidmatan.

Bahkan, mereka turut menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan kos susulan kenaikan tarif tersebut.

Bagi peniaga gerai makanan yang mahu dikenali sebagai Salmiah, 35, kenaikan tarif itu dikhuatiri memberi kesan kepada golongan peniaga sepertinya walaupun perlu akur keperluan peningkatan itu untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan air sedia ada.

“Namun, peniaga sedang pun berdepan dengan kos bahan mentah yang meningkat dan pastinya memerlukan penggunaan air. Perniagaan yang menjadi sumber rezeki utama kami perlu diteruskan. Namun, saya berasakan belum tiba masa untuk menaikkan harga makanan,” ujarnya.

Sementara itu, peniaga gerai minuman, Ahmad Nazeem Rahim, 40, dia akan cuba mengekalkan harga jualan sedia ada bagi memastikan pelanggan tidak terbeban.

“Pada waktu ini, saya akan menjual seperti biasa dan semestinya tidak mahu kehilangan pelanggan jika menaikkan harga kelak. Saya berharap, kesannya tidak begitu membebankan terutama kepada peniaga kecil-kecilan,” katanya.

Tarif air baharu bagi 9.3 juta penduduk di Lembah Klang dan Selangor yang melibatkan hampir 2.8 juta pemilik akaun meningkat antara 120 hingga 168 peratus mulai bulan depan.

Peningkatan itu melibatkan pengguna domestik, komersial dan kategori khas dengan peningkatan antara 66 sen hingga RM7.08 bagi setiap meter padu.

Namun, kadar asas bagi domestik di bawah 20 meter padu kekal pada 65 sen semeter padu dengan penyelarasan kali terakhir dibuat pada Februari tahun lalu.

Sebelum ini, Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Ng Suee Lim menyarankan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memberi taklimat khas mengenai pelarasan tarif itu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), pemimpin setempat dan peniaga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×