Tarif air: Air Selangor disaran beri taklimat khas bagi PBT, komuniti

Tarif air: Air Selangor disaran beri taklimat khas bagi PBT, komuniti

Tarif air Selangor
NG Suee Lim ketika merasmikan program Kembara Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Selangor dekat Pantai Redang, Sekinchan, di Sabak Bernam, Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) disaran memberi taklimat khas mengenai pelarasan tarif air baharu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), pemimpin setempat dan peniaga di negeri ini.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim berkata, langkah itu
bertujuan meningkatkan lagi kefahaman dan kesedaran pengguna mengenai pelaksanaan berkenaan.

Menurutnya, kesedaran mengenai penggunaan air secara cekap turut melibatkan PBT dan agensi kerajaan yang boleh menjalankan program pendidikan pengguna di semua peringkat.

“Air Selangor disaran menganjurkan taklimat dan kursus kepada PBT, ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri), komuniti dan peniaga.

“Kempen itu penting supaya mesej penggunaan air secara bijak ini dapat disampaikan lebih meluas termasuk di sekolah menerusi kerjasama dengan Jabatan Penerangan,” katanya pada program Kembara Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Selangor di Pantai Redang, Sekinchan di sini, hari ini.

Utusan Malaysia semalam melaporkan tarif air baharu bagi 9.3 juta penduduk di Lembah Klang dan Selangor yang melibatkan hampir 2.8 juta pemilik akaun meningkat antara 120 hingga 168 peratus mulai bulan depan.

Peningkatan itu melibatkan pengguna domestik, komersial dan kategori khas dengan peningkatan antara 66 sen hingga RM7.08 bagi setiap meter padu.

Namun, kadar asas bagi domestik di bawah 20 meter padu kekal pada 65 sen semeter padu dengan penyelarasan kali terakhir dibuat pada Ferbruari tahun lalu.

Mengulas lanjut, kata Suee Lim, pelarasan itu bukan dilaksanakan secara bersendirian namun secara menyeluruh oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi semua negeri.

“Selangor mengambil pendekatan menyertai pelaksanaan itu namun masih mengekalkan inisiatif bantuan air percuma seperti Skim Air Darul Ehsan (SADE) kepada golongan memerlukan.

“Kita turut menambah bilangan penerima bagi memastikan mereka tidak terkesan dengan kenaikan tarif air,” ujarnya.

Tambah beliau, pelarasan itu memberi kesan kepada pengguna dan premis komersial yang menggunakan air dalam kuantiti besar.

“Justeru, saya menyeru semua penduduk di negeri ini supaya menjadi pengguna bijak dan berhemah. Jangan membiarkan air mengalir tanpa kegunaan seperti ketika mencuci kenderaan atau ketika mandi. Sikap boros itu perlu dihentikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN