Tali pinggang keledar: Remaja paling ramai langgar peraturan

Tali pinggang keledar: Remaja paling ramai langgar peraturan

JABATAN PENGANGKUTAN JALAN (JPJ)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mendedahkan golongan remaja paling ramai yang gagal mematuhi peraturan memakai tali pinggang keledar semasa menaiki bas hasil pelaksanaan Op Tali Pinggang Keledar yang bermula 1 hingga 31 Julai lalu.

Pengarahnya Mohd. Misuari Abdullah berkata, sepanjang tempoh itu sebanyak 244 kompaun berkaitan kesalahan tersebut telah dikeluarkan.

“Daripada jumlah 236 kompaun melibatkan penumpang yang majoritinya adalah golongan remaja. Baki selebihnya masing-masing melibatkan pemandu.

“Penguatkuasaan ini bertujuan memupuk kesedaran berkaitan aspek keselamatan sepanjang menaiki bas ekspres atau bas persiaran,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Mohd. Misuari memberitahu, selain itu penumpang warga asing turut dikenakan tindakan selepas gagal mematuhi peraturan tersebut.

Katanya, sepanjang tempoh penguatkuasaan tersebut, sebanyak 837 buah bas ekspres telah diperiksa dan daripada jumlah itu, sebanyak 116 buah telah diambil tindakan.

“Bagi bas persiaran pula, sebanyak 151 buah kenderaan diperiksa dan hanya satu buah kenderaan diambil tindakan melibatkan kes pemandu tidak memakai tali pinggang keledar.

“Bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna, JPJ Kelantan turut mengarahkan agar petugas kaunter dan pemandu membuat pengumuman mengenai pemakaian tali pinggang keledar sebelum perjalanan bermula,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN