Sultan Pahang titah hidupkan semula tulisan Jawi - Utusan Malaysia

Sultan Pahang titah hidupkan semula tulisan Jawi

AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (dua dari kanan) meninjau pameran sempena Konvensyen Antarabangsa Jawi dan Warisan Melayu 2025 di Hotel Grand Darul Makmur di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru seluruh rakyat di negeri ini agar menjadi pelopor dalam menghidupkan semula penggunaan tulisan Jawi supaya tidak sekadar menjadi khazanah usang di muzium.

Baginda bertitah, tulisan Jawi perlu terus bernafas dalam kehidupan seharian termasuk melalui teknologi digital agar generasi muda tidak terpisah daripada warisan berharga itu.

“Namun saya turut menyedari bahawa dalam arus kemodenan, tulisan Jawi berdepan cabaran besar apabila kurangnya penggunaan dalam kehidupan seharian, terpinggir dalam komunikasi rasmi dan semakin jauh dari generasi muda.

“Malah ada juga akhbar Melayu dahulu yang begitu popular menggunakan tulisan Jawi, tetapi kini sudah tidak kelihatan dalam arus perdana. Ini adalah satu kebimbangan besar terhadap tulisan Jawi,” titah baginda ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Konvensyen Antarabangsa Jawi dan Warisan Melayu 2025 di Hotel Grand Darul Makmur di sini hari ini.

Pada konvensyen berkenaan, baginda turut menyempurnakan pelancaran buku Mahir Jawi: Panduan Komprehensif untuk Semua Peringkat hasil karya para Munsyi Dewan Jawi daripada Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Unipsas).

Sementara itu, Naib Canselor Unipsas, Profesor Datuk Dr. Mohd. Zawawi Zainal Abidin berkata, konvensyen itu turut mendapat penyertaan negara luar termasuk Singapura, Brunei dan Jepun.

“Antara intipati resolusi Jawi itu ialah usaha berterusan untuk memperkasakan tulisan Jawi secara bersama. Malah, Brunei Darussalam bersedia untuk menjadi tuan rumah pada penganjuran akan datang. Singapura juga menunjukkan minat yang sama.

“Kita harap program seperti ini dapat dilaksanakan sepanjang tahun bagi memastikan tulisan Jawi terus diperkasakan dan bukan hanya dianggap warisan semata-mata,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN