KUALA LUMPUR: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima mengadap Ahli Jawatankuasa Persatuan Anak-Anak Pahang Di Ibu Kota (PEKAP) di sebuah hotel di sini, semalam.
Pada pertemuan itu, Baginda menzahirkan ingatan kepada setiap ahli PEKAP agar terus berusaha sebaik mungkin membantu ahli-ahli dan mengeratkan perpaduan dalam kalangan rakyat Negeri Pahang di Lembah Klang selari dengan matlamat asal penubuhannya.
Majlis turut dihadiri Yang Dipertua PEKAP, Datuk Azman Shah Abdullah.
Azman dalam ucapannya pula menekankan langkah penjenamaan semula PEKAP agar lebih dikenali masyarakat, khususnya rakyat Pahang di perantauan.
Ditubuhkan pada September 1966, PEKAP kini menjangkau usia 59 tahun dengan jumlah keahlian seramai 4,332 orang. Persatuan ini terus menjadi wadah utama menghubungkan anak-anak Pahang yang merantau dan menetap di Lembah Klang. – UTUSAN










