MACHANG: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) tidak pernah melantik pihak ketiga untuk menguruskan permohonan Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang mendakwa mampu menjamin kelulusan pembinaan bagi projek berkenaan.
Pengerusinya, Datuk Dr. Mohd. Azmi Lila berkata, SPNB menyediakan kemudahan permohonan secara dalam talian dan borang fizikal di pejabat serta perlu melalui kelulusan tetap yang tertakluk kepada prosedur sebaimana telah ditetapkan.
“Sebenarnya tidak perlu melalui orang tengah yang kononnya bertindak sebagai konsultan dan menjanjikan permohonan akan diluluskan. Itu tidak benar.
“Permohonan rumah SPNB tidak melibatkan sebarang bayaran. Jika ada maklumat tidak lengkap, pegawai kami sendiri akan hubungi pemohon,” katanya kepada pemberita semasa Majlis Penyerahan Kunci dan Surat Tawaran Rumah Mesra Rakyat (RMR) di Kampung Banggol Kemian di sini hari ini yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohamed Fadzli Hassan.
Mohd. Azmi memberitahu, setiap permohonan perlu melalui beberapa peringkat termasuk mendapat pengesahan penghulu sebelum boleh diproses.
“SPNB sendiri yang melantik kontraktor, bukannya pihak luar yang mendakwa boleh menguruskan semuanya.
“Jadi, nasihat saya kepada orang ramai supaya tidak terpedaya dengan pihak ketiga ini,” ujarnya.
Mohd. Azmi berkata, lebih 73,000 unit RMR telah dibina di seluruh negara sehingga kini.
Katanya, daripada jumlah tersebut 11,307 adalah di negeri Kelantan.-UTUSAN