Siasatan menyeluruh tragedi Hornet TUDM

Siasatan menyeluruh tragedi Hornet TUDM

Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris meninjau bangkai pesawat pejuang F/A-18D Hornet yang musnah sepenuhnya selepas terbakar dan terhempas ketika berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang, Khamis lalu.. – ihsan TUDM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menubuhkan Lembaga Siasatan bagi menyiasat punca kemalangan pesawat pejuang F/A-18D Hornet yang terbakar dan terhempas ketika berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah di sini, malam semalam.

Dalam kejadian itu, pesawat pejuang tersebut musnah keseluruhannya, bagaimanapun dua anak kapal iaitu juruterbang dan jurusensor senjata terselamat apa­bila sempat menggunakan kerusi anjal untuk keluar daripada pesawat.

Ekoran kejadian itu, Perdana Men­teri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan bagi me­ngenal pasti punca kejadian dan me­negaskan bahawa keselamatan anggota serta keupayaan aset negara tidak boleh dikompromi.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris pula berkata, siasatan menyeluruh akan dilakukan mengikut prosedur ke­selamatan operasi penerbangan TUDM, bagi mengenalpasti punca pesawat tersebut terbakar dan terhempas.

Katanya, buat masa ini pe­nerbangan membabitkan pesawat F/A-18D Hornet akan dihentikan sementara termasuk ketika sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.

“Kita tidak mahu kejadian yang sama berulang. Jadi ia perlu siasatan menyeluruh. Jika diikutkan, lembaga itu kena siapakan laporan dalam masa 14 hari. Tapi ia mungkin boleh dikurangkan berdasarkan fakta, data diperoleh termasuk maklumat-maklumat saksi kejadian.

“Lembaga itu yang akan putuskan sama ada pesawat tersebut selamat dioperasikan ataupun sebaliknya.

“Pihak TUDM akan terus memastikan setiap aspek ke­selamatan penerbangan diberi keutamaan dan mengambil langkah sewajarnya agar insiden seumpama ini dapat die­lakkan pada masa akan datang,” katanya dalam sidang akhbar di Pangkalan Udara Kuantan di sini, semalam.

Pesawat F/A-18D Hornet daripada No 18 Skuadron yang berpangkalan di Pangkalan Udara Butterworth kini ditempatkan di Pangkalan Udara Kuantan sebagai detasmen, sementara menunggu landasan Pangkalan Udara Butterworth dinaik taraf.

Insiden tersebut bukan yang pertama melibatkan pesawat TUDM. Sejak tiga dekad lalu, lebih 30 nahas direkodkan berlaku melibatkan pelbagai jenis pesawat, dari pesawat latihan ringan hingga ke jet pejuang berteknologi tinggi.

Ketika ini, TUDM mempunyai lapan pesawat F/A-18D Hornet yang dibuat perolehan pada 1995 daripada kilangnya milik Boeing (dahulu McDonnel Douglas) di St. Louis, Missouri, Amerika Syarikat dan mula beroperasi pada 1997.

Tahun ini, usia pesawat tersebut sudah mencecah 28 tahun.

Secara teknikal, pesawat F/A-18D direka untuk menampung sekitar 6,000 hingga 8,000 jam penerbangan. Namun, faktor seperti intensiti operasi, iklim tropika, dan ketersediaan alat ganti turut mempengaruhi jangka hayat sebenar.

Berhubung keadaan F/A-18D Hornet terbabit, Norazlan berkata, pesawat tempur tersebut musnah secara keseluruhannya.

“Berdasarkan video, kita tidak boleh kata punca kemalangan disebabkan oleh bird strike atau Foreign Object Debris (FOD) seperti batu masuk ke dalam enjin pesawat ketika berlepas ataupun kegagalan enjin pesawat itu sendiri.

“Pesawat ini dilengkapi de­ngan sistem seperti kotak hitam dan data collector. Apabila kita dapatkan data collector itu, kita akan tengok apakah kemungkinan punca-punca kemalangan tersebut,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, TUDM bersyukur dua anak kapal terlibat dalam kejadian berjaya melakukan prosedur kecemasan dengan selamat iaitu ‘eject’ keluar daripada pesawat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN