ALOR SETAR: Pas menjelaskan keputusan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor untuk tidak menerima pencalonan jawatan Naib Presiden pada pemilihan kali ini dibuat tanpa sebarang tekanan sebaliknya selaras dengan prinsip kepemimpinan parti.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, budaya dalam parti itu berbeza dengan parti politik lain apabila pemimpin tidak berebut jawatan kerana menganggap ia satu amanah yang berat dipikul.
“Tidak pelik dalam Pas ini (pemimpin menolak jawatan). Perebutan dalam Pas ini adalah perebutan tidak mahu pegang jawatan. Kalau boleh ramai yang tidak mahu pegang jawatan sebab kita diajar dan memahami bahawa jawatan itu adalah tanggungjawab, bukan satu yang boleh direbut dan dijadikan kemegahan.
“Tanpa apa-apa tekanan beliau (Muhammad Sanusi) memutuskan untuk tidak menerima pencalonan kali ini mungkin akan datang, masanya akan tiba. Itulah proses kepemimpinan yang ada dalam Pas,” katanya dalam sidang akhbar sempena Muktamar Pas ke-71 di Kompleks Pas, Kota Sarang Semut, di sini semalam.
Beliau berkata, Muhammad Sanusi kekal menjadi panglima parti yang akan memainkan peranan penting untuk menghadapi pilihan raya akan datang termasuk di Sabah dalam masa terdekat.
“Beliau mempunyai peranan cukup penting dalam Pas sebagai panglima pilihan raya kita. Yang terdekatnya, pilihan raya di Sabah pun beliau akan terlibat. Itu peranan besar beliau,” katanya.
Terdahulu, Muhammad Sanusi mengesahkan untuk tidak bertanding bagi jawatan Naib Presiden Pas sekaligus mengekalkan tiga penyandangnya iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Datuk Idris Ahmad.
Kata Takiyuddin, Pas sekali lagi membuktikan kedudukannya sebagai parti politik paling stabil di negara ini apabila tiga jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan pada pemilihan kali ini.
“Presiden, Timbalan Presiden dan tiga jawatan Naib Presiden kekal disandang oleh penyandang masing-masing selepas pencalonan ditutup, menjadikan mereka menang tanpa bertanding.
“Kita bersyukur kerana Pas adalah parti yang stabil. Tumpuan kita adalah menghadapi Pilihan Raya Umum dan membangunkan negeri-negeri yang kita tadbir seperti Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu,” katanya. – UTUSAN










