ARAU: Robocup Malaysia Open 2025 menjadi platform bagi mempromosikan pendidikan robotik, inovasi dan penyelesaian masalah secara kolaboratif di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kemajuan masa depan sesebuah negara adalah bergantung kepada keupayaan masyarakat dalam menguasai perkembangan teknologi dan inovasi.
Titah baginda, berikutan itu, masyarakat di negara ini perlu dipupuk bukan sahaja untuk memahami teknologi namun turut menjadi pencipta kepada penyelesaian yang memberi impak.
“Acara seperti ini merupakan platform berharga untuk memupuk kemahiran tersebut sejak dari usia muda,” titah baginda pada Majlis Perasmian Pembukaan Robocup Malaysia Open 2025 di Universiti Malaysia Perlis (Unimap), di sini, hari ini.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang turut dihadiri Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli dan Presiden Malaysia AI Robotics Society (MARS), Professor Dr. Jeffrey Tan.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin turut menyeru ibu bapa dan para pendidik untuk menyokong serta menggalakkan penyertaan belia dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta robotik.
“Ini kerana bidang ini adalah pelaburan jangka panjang bagi melahirkan generasi berdaya saing di peringkat global dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara,” titah baginda.
Dalam perkembangan sama, Tuanku Syed Faizuddin turut berbesar hati dengan dedikasi ditunjukkan oleh semua pihak terlibat dalam menjayakan program itu yang memberi manfaat besar buat semua peserta.
“Saya gembira melihat kerjasama antarabangsa dan semangat kesukarelawanan yang dizahirkan melalui pembelajaran rentas budaya serta kerja berpasukan yang mewujudkan rasa saling hormat-menghormati, keterbukaan fikiran serta perpaduan dalam kalangan komuniti global,” titah baginda.-UTUSAN