Remaja maut, lima cedera kemalangan di LPT1 - Utusan Malaysia

Remaja maut, lima cedera kemalangan di LPT1

KEADAAN Perodua Alza yang terlibat kemalangan di Kilometer 148.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah barat di Maran, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun yang memandu tanpa lesen maut manakala lima lagi cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaikinya terbabas sebelum melintang di jalan lalu dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 148.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah barat di sini, semalam.

Ketua Polis Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 petang itu, mangsa, Nik Nur Emylia Najwa Ismail disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Menurutnya, mangsa yang memandu sebuah Perodua Alza putih dalam perjalanan dari Kuantan menuju ke Gua Musang bersama empat rakan dan seorang bayi. Bagaimanapun, setibanya di lokasi, kenderaan itu hilang kawalan lalu merempuh penghadang jalan sebelum berpusing dan melintang di tengah laluan.

“Dalam keadaan itu, sebuah Proton X70 dipandu seorang pesara wanita berusia 63 tahun dari arah sama tidak sempat mengelak dan terus merempuh bahagian sisi kiri kenderaan tersebut. Rempuhan kuat itu mengakibatkan pemandu MPV meninggal dunia di lokasi,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, pemandu SUV, Norita Mohd. Noh, 63, mengalami kecederaan ringan manakala empat penumpang MPV iaitu Muhammad Haris Danial Zainal, 20; bayi lelaki berusia setahun, Muhammad Ayden Nuh Abdul Fatah; serta dua pelajar sekolah menengah, Nur Damia Qistina Abdullah, 17, dan Nor Muhammad Syukri Helmi Nor Azmy, 17, cedera dan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh.

“Kesemua mangsa yang cedera menerima rawatan mengikut tahap kecederaan, ada yang ditempatkan di zon merah dan zon kuning hospital bagi rawatan lanjut,” katanya.

Kim Wai berkata, siasatan awal mendapati nahas berlaku kerana pemandu MPV gagal mengawal kenderaan sehingga terbabas dan melintang di tengah jalan, sekali gus menjadi punca kemalangan.

“Pihak polis mengklasifikasikan kes di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN