KUANTAN: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang memandang serius kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh yang menyatakan bahawa reformasi sistem matrikulasi berjaya dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun pentadbiran kerajaan Madani, selepas 25 tahun dilaksanakan.
Timbalan Pengerusi GPMS Pahang, Muhammad Fikri Anuar berkata, pihaknya mengalu-alukan sebarang usaha penambahbaikan dalam sistem pendidikan negara termasuk reformasi struktur dan dasar.
“Namun begitu, GPMS Pahang ingin menegaskan beberapa perkara penting yang tidak boleh dikompromi dalam apa jua reformasi dilaksanakan. Pertama, kekalkan kuota 90 peratus bumiputera dalam matrikulasi. Program matrikulasi diwujudkan sebagai laluan khas untuk pelajar bumiputera menembusi pendidikan tinggi, selaras Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
“Kuota ini bukan bersifat diskriminatif, tetapi merupakan dasar afirmatif untuk memperkasa masyarakat Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak, terutamanya dari kawasan luar bandar dan B40,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Fikri berkata, GPMS Pahang bimbang sebarang bentuk “penyamaan laluan” atau penggabungan pra-universiti di bawah satu sistem tunggal tanpa mekanisme perlindungan khusus akan menjejaskan akses pelajar Melayu dan bumiputera ke IPTA.
“Reformasi tidak wajar membuka laluan kepada tekanan untuk menghapuskan kuota khas yang telah terbukti membantu membina mobiliti sosial anak bangsa,” katanya.
Beliau berkata, GPMS menolak sebarang pendekatan yang mengorbankan asas pembentukan sistem matrikulasi dan dasar-dasar khas untuk bumiputera atas nama kesamarataan yang tidak adil dalam konteks realiti sosioekonomi negara
Menurutnya, GPMS menyeru agar sebarang reformasi besar seperti ini dilaksanakan dengan rundingan menyeluruh melibatkan pelajar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, dan pihak yang mewakili kepentingan Melayu dan bumiputera.
“GPMS akan terus menjadi suara pelajar Melayu dan bumiputera dalam mempertahankan hak pendidikan yang adil dan berasaskan semangat Perlembagaan. Kami menyambut reformasi yang membawa kemajuan, namun tidak akan berdiam jika hak pelajar Melayu dan bumiputera terancam.
“Pendidikan adalah senjata kemajuan bangsa, jangan dicabut dari tangan yang memerlukannya,” katanya. – UTUSAN