Ratu pecut cilik Sabah cipta sensasi raih emas 200 meter B12, Danish ungguli B15 - Utusan Malaysia

Ratu pecut cilik Sabah cipta sensasi raih emas 200 meter B12, Danish ungguli B15

CLAUDIA Mae Mcmanus Sing dari Sabah merangkul emas acara 200 meter perempuan bawah 12 tahun dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Kali Ke-65 di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis hari ini.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Ratu pecut cilik dari Sabah mencipta sensasi merangkul pingat emas bagi acara 200 meter perempuan bawah 12 tahun dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Kali Ke-65 di Stadium Tuanku Syed Putra hari ini.

Claudia Mae Mcmanus Sing mengatasi cabaran para pelari lain dengan mencatat masa 27.58 saat.

Manakala bagi kategori lelaki, Aidil Sazwan Saidi dari Selangor berjaya memperoleh pingat emas dengan mencatatkan masa 23.56 saat.

Dalam pada itu, jaguh pecut Selangor, Danish Irfan Tamrin mengungguli acara 200 meter lelaki bawah 18 tahun dengan mencatat masa 21.67 saat.

DANISH Irfan Tamrin merangkul emas acara 200 meter lelaki bawah 18 tahun dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Kali Ke-65 di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis hari ini. UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN

Danish berkata, meskipun gagal memecahkan rekod peribadi 21.43 saat yang dicatat sebelum ini, namun dia masih berpuas hati mampu menghadiahkan pingat emas buat kem Selangor.

Katanya, catatan masa 21.67 saat itu turut menjadi titik tolak buat dirinya untuk berusaha lebih keras dalam kejohanan lain.

“Prestasi pada hari ini tidak terlalu bagus, saya menang tapi tak dapat memperbaharui rekod peribadi iaitu 21.43 saat, Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana mampu meraih pingat emas yang diidamkan,” katanya.

Katanya, selepas ini, dia juga akan memberi tumpuan bagi saingan terbuka Malaysia yang akan berlangsung pada 29 hingga 31 Ogos dan Sukan Malaysia (Sukma) pada tahun hadapan.

“Untuk Sukma tahun depan di Selangor, saya juga sedang membuat persiapan untuk bersaing dalam acara 100 meter dan 200 meter,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN