NARATHIWAT (THAILAND): Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO) menyokong cadangan Malaysia supaya semua pergerakan pejuang selatan Thailand bersatu demi mencari jalan damai yang lebih berkesan selepas lebih dua dekad konflik di wilatah itu berlarutan.
Presidennya, Kasturi Mahkota menyifatkan ia masa paling sesuai untuk semua pihak berkepentingan duduk semeja dan membentuk jawatankuasa bersama ke arah satu penyelesaian menyeluruh yang berkekalan.
“Saya sangat bersetuju dengan pandangan Malaysia melalui Datuk Seri Mohamad Hasan (Menteri Luar). Sudah tiba masa semua kumpulan termasuk PULO, Barisan Islam Pembebasan Patani (BIPP), Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) dan Gerakan Mujahideen Islam Pattani (GMIP) disatukan dalam rundingan bersama.
“Perbincangan itu mesti secara bersama menyetujui cadangan penyelesaian ke aras proses perdamaian bagi mewujudkan keamanan berterusan di Selatan Thai,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kasturi berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pegawai perkhidmatan dalam masyarakat tempatan juga perlu dilibatkan sebagai pemerhati dalam rundingan itu.
Katanya, Malaysia mesti diangkat sebagai moderator, bukannya fasilitator seperti peranan dimainkan di selatan Filipina.
“Jika menjadi moderator, Malaysia boleh mengarahkan kedua-dua pihak menyegerakan rundingan bagi proses damai selatan Thailand,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, penduduk Islam selatan Thailand meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memainkan peranan sebagai pendamai bagi menamatkan konflik berlarutan di wilayah itu yang sudah meragut ribuan nyawa sejak beberapa dekad lalu.
Bagaimanapun Mohamad berkata, walaupun Malaysia komited untuk membantu tetapi ia agak sukar kerana wujud kumpulan yang berpecah dan membawa agenda berbeza-beza. – UTUSAN










