PTPTN: Mahasiswa sokong sekatan perjalanan

PTPTN: Mahasiswa sokong sekatan perjalanan

RAMAI peminjam pendidikan PTPTN dikesan culas untuk membayar pinjaman mereka. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rata-rata pelajar universiti menyokong cadangan kerajaan untuk mengenakan semula sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang culas membayar pinjaman pendidikan berkenaan.

Hasil tinjauan Utusan Malaysia mendapati kebanyakan pelajar menyifatkan langkah itu mampu menyedarkan peminjam yang sengaja enggan melunaskan hutang walaupun sudah berkemampuan.

FAIZAL AMIRUL NAJMI

Seorang mahasiswa Universiti Malaya (UM), Faizal Amirul Najmi, 22, berkata, dia secara peribadi menyokong cadangan tersebut kerana menyedari jumlah pinjaman PTPTN selalunya besar dan tidak wajar diambil mudah oleh peminjam.

“Pinjaman PTPTN biasanya melibatkan jumlah besar, ada yang sampai puluhan ribu ringgit. Itu satu amanah daripada kerajaan untuk bantu kita sambung belajar, jadi kalau ada yang culas memang patut dikenakan tindakan tegas bagi memberi kesedaran.

“Ramai sebenarnya yang mampu bayar selepas mula be­kerja, tetapi memilih untuk tangguh. Jika dibayar secara ansuran dengan jumlah minimum pun sudah memadai untuk elakkan hutang semakin besar. Jadi isu ini lebih kepada disiplin peminjam,” katanya.

MUHAMMAD YUSUF ADUKA

Bagi Muhammad Yusuf Aduka, 22, pula, tindakan tersebut wajar diambil, namun perlu ada pengecualian khas bagi peminjam yang benar-benar berdepan kesukaran.

“Saya bersetuju agar ma­salah ini tidak melarat namun bagi saya, kerajaan boleh ambil kira pengecualian khas terhadap peminjam yang mempunyai alasan kukuh seperti sakit, kemalangan, mengalami kecacatan kekal atau benar-benar tidak mampu bekerja.

“Saya sarankan peminjam lebih rajin mencari peluang pekerjaan atau sambilan supaya boleh menampung komitmen mereka kerana pendapat saya, mereka yang culas ini sebenarnya mempunyai sikap malas dalam diri,” katanya.

Dalam pada itu, Uzair Iman Ngah, 22, turut mencadangkan kerajaan mempertimbangkan langkah lebih tegas termasuk menyenarai hitam (blacklist) keluarga peminjam yang enggan membayar walaupun sudah berkali-kali diberi amaran.

“Kalau kerajaan senarai hitam keluarga yang gagal membayar pinjaman ini, pasti akan ada kesan dan eminjam akan lebih terdorong untuk melunaskan hutang.

“Jika tidak bertegas, saya yakin peminjam akan terus selesa untuk tidak membayar dan akhirnya kerajaan yang menanggung kerugian berjuta-juta ringgit. Kesannya, pelajar baharu pula mungkin hilang peluang untuk membuat pinjaman,” ujarnya.

SURAYA M AZHAR

Penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS), Suraya M Azhar, 22, pula berkata, peminjam perlu diberikan beberapa kali peringatan sebelum tindakan lebih tegas dilaksanakan.

“Kalau amaran sudah diberi dan peminjam masih culas, boleh cuba sekat transaksi bank atau dikenakan tindakan lain.

“Lagipun, sebelum memohon PTPTN, mereka sudah tahu terma dan syarat, jadi selepas tamat belajar dan bekerja, hutang itu sepatutnya boleh dibayar semula,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN