KANGAR: Program intervensi berstruktur perlu dilaksanakan dalam membimbing rakyat negeri ini ke arah mengamalkan gaya hidup sihat melalui kerjasama dengan semua agensi berkaitan.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, selari dengan inisiatif Perlis Go-Digital, semua perkhidmatan yang disediakan oleh jabatan kerajaan di negeri ini diharap dapat digembleng sepenuhnya ke arah merealisasikan hasrat itu secara lebih menyeluruh termasuklah dalam sektor kesihatan.
Titah baginda, di bawah pelaksanaan ini, rekod perubatan individu pada masa akan datang boleh diakses dengan pantas melalui aplikasi bersepadu sekali gus memudahkan perancangan penjagaan kesihatan secara lebih efisien dan holistik.
“Kesihatan adalah aset yang sangat bernilai dianugerahkan Allah SWT kepada kita semua dan ia mestilah dijaga dengan sebaiknya untuk kekal sihat sepanjang hayat.
“Beta ingin melihat individu, keluarga dan komuniti di negeri Perlis yang prihatin serta mengambil berat status kesihatan diri masing-masing bersama keluarga tersayang,” titah baginda pada Karnival Sihat Milik Semua 2025 Sempena Sambutan Jubli Perak 25 tahun Pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Dewan 2020, di sini, hari ini.
Berangkat sama pada majlis itu, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang turut dihadiri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.
Sementara itu, Dzulkefly berkata, berdasarkan rekod rasmi Institut Jantung Negara (IJN), peringkat umur paling muda dikesan terlibat serangan jantung adalah melibatkan individu seawal usia 19 tahun.
“Faktor ini adalah disebabkan oleh gaya hidup dan perkara ini yang kita nak terapkan kepada masyarakat agar dapat mengamalkan gaya hidup sihat. Perkembangan ini membimbangkan berikutan berkaitan dengan pemakanan, diabetes, hypertension dan kolestrol,” katanya.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, penganjuran Karnival Sihat Milik Semua 2025 adalah selari dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) bertujuan memupuk budaya hidup sihat dalam kalangan rakyat serta mendukung aspirasi program outreach Madani Afiat yang memberi penekanan kepada kesejahteraan menyeluruh melalui pendekatan kesihatan holistik, inklusif serta berteraskan komuniti.
Katanya, karnival tersebut bukan sekadar program berteraskan kesihatan tetapi satu usaha holistik merangkumi aspek fizikal, mental, rohani dan sosial.
“Dalam masa sama, KKM turut mengalu-alukan langkah berani kerajaan negeri yang terus mendukung agenda kesihatan demi kesejahteraan rakyat khususnya dalam mengawal dan membendung tabiat merokok melalui pengharaman vape,” katanya.-UTUSAN