KANGAR: Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Rahimi Ismail melihat hasil pertanian termasuk produk herba dan tanaman hiliran seperti kopi, limau madu serta durian baka baru berpontensi menjadi tarikan baharu di sekitar kawasan Banjaran Nakawan di sini.
Rahimi mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Eko Pelancongan Sungai Batu Pahat serta sekitar Banjaran Nakawan di sini.
Lawatan tersebut bertujuan bagi meninjau kemudahan, tarikan semula jadi serta aktiviti rekreasi yang ditawarkan di kawasan pelancongan berkenaan.
Bukit Ayer Resort antaranya menyediakan penginapan chalet yang selesa, manakala Nakawan Glamping menawarkan pengalaman penginapan moden bercirikan alam semula jadi.
Kerajaan negeri sentiasa komited dalam memperkukuh sektor pelancongan dengan memperkenalkan lebih banyak produk pelancongan yang berdaya saing.
Ia seterusnya menjadikan Perlis sebagai destinasi pilihan pelancong domestik dan antarabangsa sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2025/2026
Hadir sama dalam lawatan itu, Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Ag. Shaffie Ag Ahmadni; pegawai-pegawai kanan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Perlis, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat Wang Gunung.
Perlis juga bakal memperkenalkan pelbagai produk dari Banjaran Nakawan yang menjadi set cenderahati serta buah tangan jika melancong ke negeri ini.-UTUSAN