Presiden PSAP dakwa diugut kerana perjuang isu pencerobohan tanah - Utusan Malaysia

Presiden PSAP dakwa diugut kerana perjuang isu pencerobohan tanah

HASLIHELMY DM ZULHASLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang presiden pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendakwa menerima ugutan susulan kelantangannya memperjuangkan isu membabitkan pencerobohan tanah, khususnya yang melibatkan aktiviti penanaman kelapa sawit secara haram di negeri ini.

Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli mendakwa, semalam ketika berada dirumahnya di KotaSAS di sini, dia dihubungi penyelia ladang di Skim Tanah Rakyat (STR) Sungai Padi memaklumkan palang berkunci dan kamera litar tertutup (CCTV) milik syarikatnya di situ dirosakkan.

Beliau mendakwa, selain merosakkan harta benda syarikatnya di ladang itu, seorang individu turut menghubunginya dan membuat ugutan jenayah serta meminta menghentikan operasi di situ.

“Susulan kejadian itu saya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada Ahad lalu kerana bimbang keselamatan pekerja ladang serta hak pemilikan tanah syarikat.

“Susulan laporan polis itu, pada hari ini, saya bersama abang dan penyelia ladang diminta ke ladang bagi membantu siasatan polis berhubung kes pencerobohan tanah syarikat. Ketika dalam perjalanan ke Sungai Lembing, kami diserang oleh sekumpulan individu bertopeng bersenjata.

“Sembilan lelaki bertopeng keluar dari kenderaan mereka dan bertindak agresif dengan menjerit serta mengarahkan kami keluar dari kereta. Abang segera hubungi pegawai penyiasat dan dia menasihatkan kami tidak keluar kereta dan tunggu sehingga dia sampai,” dakwanya di sini hari ini.

Beliau mendakwa, mereka bertindak membunyikan hon kenderaan dinaiki berulang kali bagi menarik perhatian orang awam sebelum kumpulan penyerang terbabit beredar dari lokasi.

“Penyelia ladang kami mengenal pasti kumpulan tersebut sebagai individu yang sama dilihat merosakkan dan menceroboh harta syarikat sehari sebelumnya,” dakwanya.

Menurutnya, susulan kejadian itu, abangnya, Hasli Ilham membuat laporan polis di IPD Kuantan pada hari ini bagi memastikan keselamatan diri mereka, pekerja ladang dan keluarga terjamin.

“Saya tidak akan tunduk kepada sebarang bentuk ugutan. Perjuangan ini bukan untuk kepentingan peribadi, tetapi demi memastikan tanah negeri ini tidak terus diceroboh dan dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Dakwanya, PSAP menerima pelbagai aduan daripada penduduk berhubung aktiviti pencerobohan tanah yang semakin berleluasa, termasuk di kawasan hutan simpan dan tanah rizab kerajaan.

“Kami akan terus mendesak pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau syarikat yang terlibat. Jangan biarkan negeri ini menjadi mangsa kerakusan pihak tertentu,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN