PolyCC bangun LLM aplikasikan AI dalam pembelajaran

PolyCC bangun LLM aplikasikan AI dalam pembelajaran

LLM PolyCC
MUSTAPHA Sakmud (tengah) bergambar bersama penerima anugerah eDOLA PolyCC dan pengurusan PolyCC pada Majlis Penyampaian Anugerah eDOLA PolyCC Ke-13, di Shah Alam, Selangor, semalam. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) sedang membangunkan Large Language Model (LLM) dalam menghasilkan chatbot sendiri bagi kegunaan pembelajaran kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan pelajar dan pensyarah institusi itu.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, pembinaan AI itu sedang diusahakan dan ketika ini ada beberapa kampus politeknik yang menerapkan pembelajaran LLM.

“Kita mahu mengiktiraf penglibatan pensyarah dan pelajar dalam teknologi baharu terutama AI dan juga LLM. PolyCC akan ada LLM sendiri untuk pembelajaran di PolyCC.

“Insya-Allah tahun depan akan diperkasakan lagi jika tiada masalah. Tetapi sekarang sudah pun bermula, ada pembelajaran secara realiti maya (VR) dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah eDOLA PolyCC Ke-13, malam tadi.

Pada 3 Ogos lalu, Utusan Malaysia melaporkan sebuah politeknik baharu yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada bidang AI bakal dibangunkan di Lumut, Perak dan dijangka mula beroperasi seawal tahun 2027.

Institusi itu merupakan yang pertama seumpamanya di negara ini dan dibangunkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dengan matlamat memperkasa pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) khusus dalam bidang teknologi masa hadapan.

Ketua Pengarah PolyCC, Datuk Dr. Mohd. Zahari Ismail berkata, politeknik tersebut kini dalam fasa perancangan menyeluruh yang melibatkan penyediaan kurikulum, struktur perjawatan dan pembangunan infrastruktur.

Selain itu, Mustapha turut memaklumkan pihaknya sedang dalam usaha meningkatkan kemasukan pelajar ke PolyCC bagi memenuhi keperluan tenaga mahir khususnya bagi sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menurutnya, sehingga kini PolyCC menyumbang 40 peratus tenaga mahir TVET dan menjangkakan untuk meningkatkan peratusan tersebut selain mengukuhkan peranan institusi berkenaan dalam bidang itu.

“Kita ada target untuk menambah kemasukan pelajar-pelajar dan semua maklum kita adalah penyumbang terbesar bagi institusi TVET di negara ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN