PEKAN: Seorang pekerja ladang sawit parah selepas kaki kirinya putus digilis sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 21 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 pagi itu, mangsa, Muhammad Amirulnizam Sarimon, 26, menunggang motosikal Yamaha RXZ dari arah Kahang Timur menuju ke Terengganu untuk menyertai Himpunan RXZ sebelum dipercayai hilang kawalan lalu terbabas di selekoh.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd. Zaidi Mat Zin berkata, mangsa kemudian terjatuh di atas jalan dan digilis tayar belakang sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat kejadian itu, mangsa putus kaki kiri selain patah ibu jari kanan dan cedera pada bahagian perut kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Zaidi berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian mangsa sendiri ketika menunggang motosikal.
Kes masih disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN










