KUANTAN: Pertandingan Tenun Pahang Diraja bagi merebut Piala Tunku Azizah yang diadakan buat pertama kali berjaya menarik penyertaan seramai 103 peserta dengan jumlah keseluruhan 206 produk yang dihasilkan.
Pertandingan anjuran Yayasan Tenun Pahang Diraja dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia itu berlangsung dari 27 Mac hingga 30 April lalu, melibatkan penyertaan individu, pelajar, usahawan serta banduan dari Penjara Penor dan Penjara Bentong.
Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa terharu dan sukacita atas sambutan cukup menggalakkan terhadap pertandingan tersebut.
Baginda bertitah, semua produk terdiri daripada kain samping corak beragi dan kain sarung corak beragi akan dinilai oleh lima juri profesional selama empat hari bermula 21 Ogos ini.
Penjurian akan diketuai oleh Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan dibantu empat pakar tekstil negara iaitu Dr. Habibah Abdul Jabar, Profesor Dr. Norwani Md. Nawawi, Noorizal Ramly dan Noridah Johan.
Tunku Azizah Aminah Maimunah bertitah, panel juri akan membuat penilaian berdasarkan empat kriteria utama iaitu kecemerlangan dan keaslian, ketukangan, inovasi serta potensi komersial.
“Paling utama, penghasilan produk mestilah menggunakan kaedah pembentukan tangan yang termaktub dalam definisi kraf tangan seperti digariskan oleh UNESCO.
“Penggunaan mesin adalah tidak dibenarkan. Setiap produk wajib menerapkan nilai warisan Malaysia sama ada dari segi motif, warna, teknik pembuatan mahupun amalan budaya,” titah baginda.
Pertandingan ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM104,000, termasuk RM30,000 bagi pemenang utama, RM20,000 untuk tempat kedua dan RM10,000 bagi tempat ketiga. Keputusan pertandingan akan diumumkan pada 24 Ogos ini selepas sesi penjurian yang berlangsung dari 21 hingga 23 Ogos.
Majlis penyampaian hadiah akan diadakan pada 31 Ogos ini sempena Perasmian Temasya Warisan Pahang di Muzium Maritim, Pulau Beram, Pekan, yang bakal disempurnakan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pada malam yang sama, baginda turut dijadual melancarkan Yayasan Warisan Tunku Azizah yang telah ditubuhkan pada 2023.
Semua produk yang menyertai pertandingan ini akan dipamerkan sempena Temasya Warisan Pahang dari 1 hingga 7 September ini di Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah, Pulau Keladi, Pekan.
Tunku Azizah Aminah Maimunah turut menegaskan bahawa pertandingan ini merupakan platform penting dalam memperkasa serta memperluas pengaruh Tenun Pahang Diraja di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Pertandingan ini bertujuan mencungkil bakat kreatif dan inovatif dalam kalangan penenun untuk menghasilkan Tenun Pahang Diraja yang berkualiti tinggi dari segi estetika, rekaan, teknik serta kemahiran dengan potensi nilai komersial,” titah baginda. – UTUSAN