Perlis berjaya ikat Kedah dengan 10 pemain, tanpa import - Utusan Malaysia

Perlis berjaya ikat Kedah dengan 10 pemain, tanpa import

AKSI para pemain dalam perlawanan pembuka tirai Liga A1 Semi Pro antara Perlis GSA FC dengan Kedah FA di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis malam tadi.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Perlis Guar Syed Alwi (GSA FC) menunjukkan semangat juang yang tinggi meskipun beraksi dengan 10 pemain apabila berjaya mengikat Kedah FA 0-0 dalam aksi Liga A1 Semi Pro di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar malam tadi.

Perlis yang beraksi dengan keseluruhan pemain dalam kalangan anak jati negeri tanpa import, terpaksa beraksi dengan 10 pemain seawal minit ke-35 apabila Nasri Thauhid dikesan mengasari pemain import Lang Merah, Yakubu Abubakar.

Namun sepanjang tempoh lebih 60 minit dengan 10 pemain khususnya di babak kedua, anak buah Amar Rohidan itu menunjukkan disiplin yang cukup tinggi menyerap segala serangan pasukan pelawat sehingga wisel penamat.

Kedah yang beraksi dengan kelebihan seorang pemain gagal mengambil kesempatan apabila terus buntu menjaringkan gol meskipun mempunyai beberapa peluang terhidang.

Pada babak kedua, Kedah FA terus bergelut dalam mencari penyudah apabila ketumpulan barisan serangan menjejaskan peluang untuk memecahkan kebuntuan jaringan.

Perlawanan juga sedikit panas di akhir permainan apabila berlaku sedikit pertelingkahan melibatkan pemain kedua-dua pasukan namun keadaan berjaya dikawal dengan baik oleh pengadil perlawanan.

Beraksi di hadapan lebih 6,000 penyokong, kedua-dua pasukan hanya berpuas hati membawa pulang satu mata pada aksi ‘derby’ utara yang menghiburkan itu.

Turut hadir menyaksikan perlawanan tersebut, Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN