KUALA LUMPUR: Pertubuhan Wira Seni Unik menyokong seruan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang meminta masyarakat menghormati sensitiviti keluarga Allahyarham Zara Qairina dan tidak mendahului siasatan pihak berkuasa.
Penolong Setiausaha Pertubuhan Wira Seni Unik, Ahmad Faris Othman berkata, semua pihak wajar menunjukkan empati dan adab dalam berinteraksi dengan isu-isu yang menyentuh maruah, kesedihan dan keadilan.
Beliau berkata, kematian tragik melibatkan seorang kanak-kanak adalah peristiwa yang menyentuh nurani setiap insan.
“Namun dalam era digital dan media sosial yang serba pantas, ramai tergoda untuk menghakimi, menyebar spekulasi dan mendesak tindakan secara terbuka sebelum fakta sebenar diperoleh.
“Ini bukan sahaja menambah luka kepada keluarga, malah berpotensi mencemarkan proses siasatan serta keadilan itu sendiri.
“Sejarah membuktikan, keadilan yang tergesa-gesa tanpa bukti sahih akan meruntuhkan kepercayaan kepada sistem perundangan dan menyebabkan trauma berpanjangan kepada mereka yang terlibat,” kata.
Beliau berkata, Menteri Dalam Negeri telah menyampaikan mesej yang jelas iaitu biarkan pihak berkuasa menjalankan tugas berdasarkan lunas undang-undang dan prosedur siasatan yang telus.
Katanya, undang-undang wujud bukan hanya untuk menghukum, tetapi juga untuk melindungi hak semua pihak, termasuk mangsa, suspek, dan masyarakat umum.
“Kami menyeru orang ramai agar tidak menambah kesakitan keluarga dengan andaian atau kenyataan tidak berasas. Sebaliknya, salurkan sokongan dengan mendoakan keadilan ditegakkan dan memperkukuh budaya saling menghormati dalam masyarakat.
“Dalam erti kata yang lebih luas, inilah masa untuk kita semua menunjukkan nilai kemanusiaan sejati, dengan sabar, tertib, dan percaya kepada proses yang adil,” katanya.-UTUSAN