Penyerahan Jalur Gemilang semarakkan komuniti Felda Jengka 24 - Utusan Malaysia

Penyerahan Jalur Gemilang semarakkan komuniti Felda Jengka 24

RAZAK Daud ( baris tengah tiga dari kiri) dan Azrul Azham (empat dari kiri) bersama komuniti sempena kempen Satu Rumah Satu Jalur Gemilang sempena Bulan Kemerdekaan di Felda Jengka 24 di Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Semangat bulan kemerdekaan kembali menyerlah di Felda Jengka 24 apabila komuniti setempat menyambut baik kempen ‘Satu Rumah Satu Jalur Gemilang’ menerusi program penyerahan bendera di Dewan Mat Kilau, di sini.

Program bersempena Pertandingan Karaoke Bintang Patriotik Komuniti Madani Daerah Jerantut itu dianjurkan Komuniti Madani Kampung Durian Hijau dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Jerantut.

Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, pengibaran Jalur Gemilang bukan sekadar hiasan semata-mata, sebaliknya manifestasi kecintaan kepada negara yang diwarisi daripada perjuangan generasi terdahulu.

“Bendera bukan sekadar kain berwarna, sebaliknya lambang maruah negara. Apabila ia berkibar megah, ia membawa semangat perjuangan dan kebanggaan rakyat Malaysia,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.

Razak berkata, setiap keluarga di Felda sewajarnya menyahut cabaran ‘Satu Rumah Satu Jalur Gemilang’ sebagai tanda sokongan kepada usaha memartabatkan semangat patriotik.

Pegawai Penerangan Daerah Jerantut, Azrul Azham Azmi berkata, pertandingan karaoke lagu-lagu patriotik menjadi wadah mendidik masyarakat menghayati nilai kemerdekaan.

“Di samping hiburan, mesej patriotisme ini harus sampai kepada semua golongan. Kita mahu masyarakat menghayati makna kemerdekaan, bukan sekadar mengibarkan bendera,” ujarnya.

Program dimulakan dengan kempen kibar Jalur Gemilang, nyanyian lagu kebangsaan, persembahan karaoke serta penyerahan bendera kepada wakil komuniti Felda yang menjadi detik simbolik penyatuan semangat patriotik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN