Pemilik kebun buat laporan polis, dakwa diugut - Utusan Malaysia

Pemilik kebun buat laporan polis, dakwa diugut

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang individu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini selepas mendakwa diugut dengan senjata tajam ketika cuba memasuki kebun kelapa sawit milik rakannya di Skim Tanah Rakyat (STR) Sungai Padi, Mukim Ulu Kuantan di sini semalam.

Muhammad Abdullah, 42, mendakwa, insiden berlaku sekitar pukul 6 petang ketika dia bersama pemilik kebun, Ahmad Basrah, membawa tiga kontraktor ke lokasi tersebut bagi urusan pembelian dan pengangkutan hasil sawit.

Dakwanya, sebaik tiba di pintu masuk kebun, mereka diekori seorang lelaki bermotosikal yang menjerit dan mengarahkan berhenti.

“Lelaki tersebut bertindak agresif dan mendakwa menerima arahan supaya tiada sesiapa dibenarkan masuk ke kawasan STR Sungai Padi, termasuk pemilik tanah sendiri,” katanya di sini hari ini.

Muhammad mendakwa, lelaki berkenaan mengeluarkan sebilah parang daripada bakul  motosikalnya dan mengacukan senjata itu ke arah mereka sambil mengugut mencederakan jika meneruskan niat memasuki kebun tersebut.

Katanya, bimbang tentang keselamatan diri, dia dan rakannya terpaksa beredar daripada lokasi kejadian dan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap dakwaan ugutan jenayah dan tindakan menghalang secara tidak sah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN