Pemandu SUV tular tular dikejar polis, ditahan miliki pil kuda

Pemandu SUV tular dikejar polis, ditahan miliki pil kuda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pemandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mitsubishi Pajero yang tular dikejar unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan unit peronda polis (MPV) ditahan memiliki pil kuda dan air ketum di Jalan Kebun Sultan di sini semalam

Dalam kejadian pukul 6.15 petang itu, MPV dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat terlebih awal mengejar SUV tersebut dan sebuah kereta jenis Proton Preve dari Tumpat ke Kota Bharu

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Wan Ruzailan Wan Mat Rusoff bagaimanapun berkata, MPV dari IPD Kota Bharu telah membantu mengejar dua buah kenderaan tersebut sebelum ia berjaya ditahan kira-kira pukul 6.54 petang selepas berpusing-pusing ditempat sama.

“Pemandu SUV Mitsubishi Pajero yang berusia dalam lingkungan 20-an dapat dicekup manakala pemandu kereta Proton Preve telah melarikan diri.

“Pemeriksaan di dalam kenderaan itu menjumpai sebotol plastik mengandungi air rebusan ketum dan satu tiub straw berisi dadah jenis pil kuda,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Wan Ruzailan memberitahu, suspek mempunyai tiga rekod lampau berkait kes jenayah dan dadah.

Katanya, pemeriksaan pada nombor casis kereta Proton Preve turut mendapati nombornya adalah palsu dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Sebelum itu, tular video memaparkan anggota URB dan MPV telah mengejar SUV jenis Mitsubishi Pajero di kawasan tersebut sehingga mendapat perhatian ramai orang awam.

Bagaimanapun, anggota polis di dalam video itu dilihat tidak dapat menahan SUV berkenaan apabila pemandu kenderaan tersebut bertindak memandu secara melulu dan membahayakan orang ramai.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN