KUALA LUMPUR: Seramai 60,930 penerima faedah Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) berjaya memperoleh pekerjaan semula dalam tempoh antara satu hingga enam bulan selepas kehilangan pekerjaan sejak 2023 hingga Jun lalu.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, pencapaian itu direkodkan melalui Program Penempatan Pekerjaan Semula yang dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi membantu pencarum kembali bekerja dalam tempoh singkat.
Katanya, ia secara tidak langsung menunjukkan insentif di bawah SIP memberi kesan positif terhadap kadar pengangguran kerana ia mampu menyuntik motivasi kepada pencari kerja untuk segera mendapatkan pekerjaan.
“Insentif yang disediakan termasuk Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) serta Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) dibayar secara pukal dengan kadar 25 peratus daripada baki elaun yang belum diterima.
“Langkah ini bukan sahaja memberi perlindungan kepada pencarum, malah mempercepatkan proses mereka kembali bekerja,” katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri M. Saravanan (BN-Tapah) mengenai jumlah pencarum yang menerima manfaat semasa diberhentikan kerja, purata bantuan diterima serta tempoh pengangguran sebelum mendapat pekerjaan semula melalui program pemadanan kerja Perkeso.
Chee Keong berkata, sejak pelaksanaan SIP pada 2018 hingga Jun lalu, jumlah keseluruhan faedah yang dibayar Perkeso mencecah RM1.66 bilion dengan 332,932 penerima mendapat manfaat.
“Sebagai contoh, sekiranya seorang Orang Berinsurans (OB) menerima gaji RM2,000 sebulan dan diberhentikan kerja, beliau layak menuntut EMP dengan purata gaji anggapan RM1,950.
“Pada bulan pertama, OB akan menerima RM1,560 (80 peratus), RM975 (50 peratus) pada bulan kedua dan RM780 (40 peratus) pada bulan ketiga. Jika berjaya memperoleh pekerjaan pada bulan keempat, Perkeso akan membayar 25 peratus daripada baki EMP yang belum diterima,” jelasnya. – UTUSAN










