KOTA BHARU: Cadangan menukar nama bunga Rafflesia kepada nama tempatan wajar diteliti secara halus kerana melibatkan sejarah, sains dan warisan budaya negara.
Dekan Fakulti Sains Bumi Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Profesor Madya Dr. Zulhazman Hamzah berkata, walaupun cadangan itu lahir daripada hasrat untuk memartabatkan identiti negara, aspek praktikaliti, kos serta sistem penamaan spesies antarabangsa tidak boleh diketepikan.
“Orang Kelantan panggil Pokma, Orang Asli Temiar di Lojing sebut Malang, Kadazan-Dusun (Patma), Melayu Selatan Thai (Kekmo) dan di Thailand (Bua Put), sememangnya sudah lama dikenali masyarakat tempatan sebelum ‘ditemui’ penjajah Barat pada abad ke-19.
“Usaha mengangkat nama tempatan adalah wajar kerana ia mengiktiraf pengetahuan tradisional serta memelihara khazanah linguistik setiap etnik. Namun, menggugurkan terus nama Rafflesia boleh menimbulkan kekeliruan besar kerana ia telah digunakan lebih 200 tahun dalam komuniti saintifik global,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Zulhazman memberitahu, proses penukaran nama rasmi turut melibatkan kos yang tinggi seperti menukar buku teks, papan tanda di taman negara, bahan promosi pelancongan dan laman web kerajaan.
“Lebih utama sekarang ialah memastikan bunga Rafflesia terus dilindungi kerana ia spesies terancam. Habitatnya mesti dipelihara daripada musnah berbanding kita berbahas soal nama.
“Jalan yang tengah boleh diambil dengan mengekalkan nama saintifik Rafflesia tetapi pada masa sama menggunakan nama tempatan secara rasmi. Sebagai contoh, dalam promosi pelancongan boleh gunakan ‘Rafflesia (Bunga Pakma)’ atau ‘Bunga Pakma (Rafflesia)’. Di sekolah pula pelajar didedahkan dengan kedua-dua nama serta sejarahnya. Dengan cara ini, kita seimbangkan antara pengiktirafan global dan pemuliharaan identiti tempatan,” ujarnya.
Zulhazman berkata, pada masa sama kerajaan perlu berani melabur lebih serius dalam penyelidikan, pendidikan dan pemuliharaan bunga unik itu supaya Malaysia menjadi peneraju global dalam usaha perlindungan Rafflesia.
Semalam media melaporkan, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mencadangkan supaya nama bunga Rafflesia ditukar sempena Hari Kebangsaan ke-68.
Mencelah penggulungan pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Johari Ghani pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-13, Wan Fayhsal secara berseloroh berkata, nama bunga itu boleh sahaja ditukar sempena nama Perdana Menteri Anwar Ibrahim.-UTUSAN