PASIR MAS: Seorang warga emas berketurunan Cina, Owee Ching Lyu atau Pak Awang yang pandai menulis dan membaca tulisan jawi meninggal dunia akibat jangkitan kuman semalam.
Pak Awang menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 86 tahun sekitar pukul 7.07 malam semasa sedang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.
Anak sulungnya Owee Kim Jim, 62, berkata, mendiang ayahnya menerima rawatan di hospital berkenaan sejak tiga minggu selepas terkena jangkitan kuman akibat demam.
Menurutnya, sepanjang tempoh itu mendiang ayahnya pernah ditidurkan selama lima hari sebelum stabil dan dipindahkan ke wad biasa.
“Sebelum dimasukkan semula ke hospital apabila tekanan oksigen rendah selepas terkena semula jangkitan, mendiang ayah dibenarkan pulang ke rumah selama dua hari.
“Kami lega ayah meninggal dunia dalam keadaan tenang. Mayat ayah ditempatkan sebuah wat dekat Tendong di sini sebelum dikebumikan Tanah Perkuburan Cina Kubang Pak Urai tengah hari esok,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seorang warga emas berketurunan Cina, Owee Ching Lyu dari Kampung Sakar Sungai di sini, menjadikan akhbar Utusan Melayu keluaran 23 Julai 2012 sebagai medium untuk memperkasa bacaan dan tulisan jawi yang dipelajarinya sejak kecil.
Pak Awang berkata, minat mendalam terhadap bacaan jawi dan tulisan itu membuatkan dia menyimpan kemas akhbar tersebut.-UTUSAN