RAUB: Lebih 10,117 hektar kawasan durian haram disekat laluan keluar masuk, manakala 105 hektar tanaman itu ditebang di Hutan Simpan Kekal Gunung Benom di sini dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Durian Haram Raub atau Ops Sekat yang kini sudah pun memasuki fasa empat bermula 21 Julai lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, seramai 45 individu ditahan, melibatkan 20 kes kesalahan di bawah Kanun Tanah Negara, Akta Perhutanan Negara, Akta Imigresen serta Akta Senjata.
“Tangkapan ini membuktikan pendirian jelas kerajaan negeri yang tidak berlembut dengan mana-mana pihak yang berdegil menceroboh tanah kerajaan,” katanya di sini hari ini.
Ops Sekat mula dilaksanakan sejak 25 April 2024, selepas Mahkamah Tinggi Kuantan menolak semakan kehakiman oleh 186 pekebun.
Wan Rosdy berkata, secara keseluruhan, sebanyak 129 individu sudah ditangkap di bawah pelbagai kesalahan, dengan 12 kes dibawa ke mahkamah.
“Sebahagian daripada mereka sudah dijatuhi hukuman termasuk denda sehingga RM200,000 dan penjara maksimum 12 bulan. Hukuman ini adalah amaran jelas bahawa negeri Pahang tidak akan sesekali tunduk kepada penceroboh.
“Operasi ini dilaksanakan secara bersepadu dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk Pejabat Daerah dan Tanah Raub, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diketuai Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP).
“Kerjasama ini memperkukuh tindakan kerajaan negeri dalam memastikan undang-undang dilaksanakan secara tegas, berkesan dan menyeluruh,” katanya.
Beliau mengingatkan semua pihak bahawa tanah kerajaan dan Hutan Simpan Kekal adalah khazanah negeri yang wajib dipelihara.
“Sebarang cubaan untuk menceroboh, menanam atau mengaut keuntungan secara haram adalah satu perbuatan jenayah dan tindakan paling tegas akan dikenakan tanpa pengecualian,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menceroboh tanah kerajaan atau Hutan Simpan Kekal secara haram, termasuk aktiviti penanaman durian haram di daerah Raub.
“Tiada sesiapa pun berada di atas undang-undang dan tindakan tegas akan diteruskan sehingga kegiatan ini dihapuskan sepenuhnya,” tegasnya. – UTUSAN