MyGig sokong pembentangan RUU Pekerja Gig, kukuh perlindungan sosial, hak upah - Utusan Malaysia

MyGig sokong pembentangan RUU Pekerja Gig, kukuh perlindungan sosial, hak upah

MOHD. Sharkar Shamsudin (empat dari kiri) mengetuai rombongan MyGig bertemu Steven Sim Chee Keong (lima dari kiri) di Dewan Rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Majlis Ekonomi Gig Malaysia (MyGig) menyokong pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig yang bakal dibentangkan di Dewan Rakyat kerana ia akan menjadi titik tolak penting dalam memperkasa hak dan kebajikan lebih dua juta penggiatnya di seluruh negara.

RUU tersebut dirangka bagi menangani kekosongan perundangan yang selama ini menyebabkan golongan pekerja gig terpinggir daripada perlindungan sosial dan jaminan pendapatan yang stabil.

Pengerusi MyGig, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, RUU ini akan memberi tumpuan kepada empat komponen utama, iaitu definisi pekerja gig, penentuan kadar upah menerusi majlis perundingan, mekanisme penyelesaian pertikaian dan perlindungan sosial.

“RUU ini memperkenalkan takrifan rasmi bagi pekerja gig, merangkumi individu yang menjalankan kerja berdasarkan kontrak jangka pendek atau tugasan melalui platform digital. Langkah ini penting bagi membezakan mereka daripada pekerja tetap yang dilindungi di bawah Akta Kerja 1955.

“Dengan definisi yang jelas, kerajaan dapat merangka dasar yang lebih tepat dan inklusif, sekali gus mengelakkan eksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Semalam, Mohd. Sharkar mengetuai rombongan lima ahli MyGig mengadakan pertemuan dengan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong di Dewan Rakyat bagi membincangkan isu tersebut terutama membabitkan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM).

Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, dalam pertemuan tersebut, MyGig turut dimaklumkan tentang penubuhan majlis perundingan bagi.menetapkan kadar upah minimum yang adil untuk pekerja gig.

“Langkah ini difahamkan bertujuan mengelakkan persaingan harga yang tidak sihat serta memastikan pekerja gig menerima bayaran setimpal dengan usaha dan masa yang dicurahkan,” katanya.

Beliau menjelaskan, RUU ini akan turut memperkenalkan mekanisme kilanan bagi menyelesaikan pertikaian antara pekerja gig dan platform atau pemberi kontrak.

“Mekanisme ini merangkumi saluran aduan rasmi, proses pendamaian dan tribunal khas sekiranya pertikaian gagal diselesaikan secara dalaman. Langkah ini dilihat sebagai usaha proaktif kerajaan dalam memastikan keadilan dan ketelusan dalam hubungan kerja gig,” jelasnya.

Menurutnya, antara komponen paling penting dalam RUU ini ialah perlindungan sosial bagi membolehkan pekerja gig menikmati faedah seperti perlindungan kemalangan, cuti sakit dan simpanan hari tua.

“Inisiatif ini selaras hasrat kerajaan untuk membina masyarakat yang lebih inklusif dan sejahtera, tanpa mengira bentuk pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata, RUU Pekerja Gig merupakan sebahagian komitmen kerajaan dalam memperkasa ekonomi digital dan menjamin kesejahteraan rakyat.

Ia juga katanya, mencerminkan kesungguhan Malaysia dalam menyesuaikan dasar buruh dengan perubahan landskap pekerjaan global.

“RUU ini merupakan titik tolak kepada usaha kerajaan untuk penubuhan SEGiM yang bukan hanya menjadi pusat bersepadu bagi membela kebajikan dan melindungi pekerja ekonomi gig, sebaliknya turut berfungsi sebagai kawal selia kapitalisme digital dalam industri tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN