MSSM Perlis: Terengganu ungguli acara 4x100 bawah 18 tahun perempuan - Utusan Malaysia

MSSM Perlis: Terengganu ungguli acara 4×100 bawah 18 tahun perempuan

KUARTET Terengganu acara 4x100 perempuan bawah 18 tahun berjaya memenangi pingat emas dan memecahkan rekod kejohanan pada MSSM Kali Ke-65 di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Terengganu mengungguli acara 4×100 meter perempuan bawah 18 tahun apabila meraih pingat emas dalam aksi akhir Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Kali Ke-65 di sini hari ini.

Lebih manis lagi, pasukan berkenaan yang berjaya meraih catatan masa 47.45 saat turut memecahkan rekod kejohanan yang dicatatkan pada MSSM Johor 2024 iaitu 47.65 saat.

Tempat kedua dan ketiga acara itu diraih kuartet Selangor dengan catatan masa 48.27 saat manakala Sarawak 48.87 saat.

Pelari Terengganu diwakili oleh Nurin Aira Rusdi, Nur Aliya Najihah Muda, Nur Farisha Ardeana Ardy Abdullah dan Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira.

Dalam pada itu, kapten pasukan, Izzatul Musfirah berkata, biarpun keadaan cuaca hujan dan trek yang basah, namun mereka masih dapat mengekalkan rentak sekali gus memecahkan rekod dalam kejohanan tersebut.

“Larian pada hari ini walaupun sedikit lambat namun kami dapat mengekalkan rentak sehingga ke garisan penamat. Sebenarnya kami pun sedikit terkejut dapat pecah rekod sebab Johor juga merupakan pencabar terdekat kami dalam acara ini,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Izzatul Musfirah berkata, mereka sememangnya sudah meletakkan sasaran untuk memecahkan rekod kejohanan itu namun setiap pelari tidak mahu terlalu yakin bagi menggelakkan daripada melakukan kesilapan.

Katanya, percaturan ketua jurulatih, Khairul Azman Adnan, 46, turut membantu pasukan untuk mengungguli acara berkenaan dan memecahkan rekod kejohanan.

“Dan paling penting sekali keyakinan kami antara satu sama lain untuk memastikan kemenangan dalam acara ini,” katanya.

Sementara itu, Khairul Azman berkata, pihaknya sememangnya sudah mensasarkan pasukan itu akan dapat memecahkan rekod kejohanan dalam acara tersebut memandangkan pelari terlibat pernah mencatatkan masa sekitar 46 saat semasa latihan sebelum ini.

Katanya, dia berkeyakinan pasukan itu juga mampu meraih catatan masa berkenaan sekiranya cuaca tidak hujan dan trek berada dalam keadaan kering.

“Namun kami tetap bersyukur kerana masih dapat memecahkan rekod kejohanan biar pun keadaan cuaca tidak mengizinkan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN