KANGAR: Pelari pecut Terengganu, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira terus mencipta sensasi apabila memecah rekod kejohanan bagi acara 200 meter perempuan bawah 18 tahun dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Kali Ke-65 di Stadium Tuanku Syed Putra di sini hari ini.
Kejayaan tersebut sekali gus melengkapkan kemenangan pingat emas ketiganya selepas berjaya dalam acara 100 meter dan 4×100 yang turut memecahkan rekod kejohanan.
Pada aksi akhir tersebut, Izzatul Musfirah merekodkan catatan masa 24.24 saat sekali gus mencipta rekod baharu kejohanan yang sebelum ini dipegang oleh Ormilla Octavia Codday Nyadau dari Sarawak pada tahun lalu dengan masa 24.79 saat.
Sebelum ini, Izzatul Musfirah dinobatkan sebagai ratu pecut MSSM selepas memenangi acara 100 meter dengan mencatatkan masa 11.84 saat.
Dia memecahkan rekod kejohanan sebelum ini iaitu 12.02 dicatatkan Azreen Nabila turut berasal dari negeri sama.
Selepas itu, atlet muda Terengganu itu bersama kuartet 4×100 mengungguli acara berkenaan dengan catatan masa 47.45 saat dan memecahkan rekod kejohanan yang dicatatkan pada MSSM Johor 2024 iaitu 47.65 saat.
Izzatul Musfirah berkata, penantian selama lebih setahun bagi memecahkan rekod acara itu tercapai apabila dia dapat beraksi dengan baik sekali gus merekodkan catatan masa baharu.
“Setelah sekian lama menanti dan ditambah pula dengan kecederaan teruk pada tahun lalu, akhirnya saya dapat mencipta rekod baharu dalam kejohanan ini.
“Catatan masa terbaik saya adalah 24.52 saat dan pencapaian diraih ini juga dapat mengatasi rekod itu sejak lebih setahun lalu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia hari ini.
Izzatul Musfirah berkata, dia juga dapat melihat peningkatan prestasi larian menerusi kemenangan tersebut.
“Ia juga adalah hasil dorongan dan tunjuk ajar daripada barisan kejurulatihan diketuai oleh Khairul Azman Adnan,46. Terima kasih kepada guru-guru dan ahli keluarga yang banyak membantu untuk melonjakkan saya dalam sukan ini,” katanya.
Bagi kategori lelaki 200 meter bawah 15 tahun, Muhammad Aqief Naufal Mohd Mustaqim dari Perak berjaya merangkul pingat emas dengan cacatan masa 21.61 saat.

Manakala bagi kategori perempuan, Tuan Dhia Durrani Tuan Mohd Fadir dari Kelantan memperolehi pingat emas dengan cacatan masa 25.48 saat.-UTUSAN