TEMERLOH: Penganjuran Mini Maha Pahang yang berlangsung di sini sejak empat hari lalu bakal dijenamakan semula sebagai Maha Pahang bermula tahun hadapan, berikutan sambutan luar biasa rakyat terhadap program berkenaan.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perubahan itu dibuat kerana kerajaan negeri mahu menjadikan acara tersebut lebih besar, tersusun dan menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan.
Menurut beliau, jumlah pengunjung yang hadir pada hari ketiga sahaja menghampiri 100,000 orang, sekali gus melepasi sasaran awal yang ditetapkan.
“Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat menggalakkan. Dengan jumlah yang hadir setakat ini, saya yakin dalam tempoh empat hari penganjuran, kita mampu menarik lebih 110,000 pengunjung,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak pameran Mini Maha Pahang di Dataran Temerloh di sini hari ini.
Program Mini Maha Pahang berlangsung selama empat hari bermula kelmarin, dengan pelbagai pengisian termasuk jualan hasil tani, pameran teknologi pertanian, demonstrasi memasak.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, sektor pertanian terus menjadi nadi kekuatan ekonomi negeri ini apabila Pahang muncul sebagai penyumbang kedua terbesar negara dengan nilai jualan mencecah RM25.12 bilion tahun lalu, sekali gus membuktikan keupayaannya sebagai negeri agro yang subur dan berdaya saing.
Beliau berkata, pencapaian itu didedahkan dalam Laporan Interim Banci Pertanian Malaysia yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini, menempatkan Pahang hanya setingkat di bawah Johor.
“Daripada jumlah itu, 88 peratus disumbangkan subsektor tanaman, membuktikan bumi Pahang ini kaya dengan hasil serta rakyatnya gigih mengusahakan tanah untuk menjadi peneraju makanan negara,” katanya.
Menurut beliau, hasil tanaman utama yang menjadi penyumbang terbesar ialah kelapa sawit dengan nilai RM14.18 bilion, diikuti pengeluaran sayur-sayuran di Cameron Highlands bernilai RM3.6 bilion yang membekalkan pasaran tempatan dan antarabangsa.
Selain itu, durian Musang King turut muncul sebagai ikon dunia dengan nilai RM2.42 bilion, menjadikan Pahang terus dikenali di peringkat antarabangsa sebagai pengeluar buah premium. – UTUSAN










